suria

Jin Wei mara suku akhir Masters Korea

Jin Wei mara ke suku akhir.

KUALA LUMPUR: Juara Remaja Dunia, Goh Jin Wei meneruskan aksi cemerlangnya  untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Korea 2018, di Gwangju, Korea Selatan, Khamis.

Jin Wei, pemain pilihan ketujuh kejohanan menewaskan pemain China, Zhang Yiman 21-16 dan 21-15 dalam perlawanan pusingan kedua acara perseorangan wanita di Stadium Universiti Wanita Gwangju, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara,  Soong Joo Ven melakukan kejutan besar dalam pertandingan yang menawarkan hadiah US$250,000 (RM1.046 juta), apabila menewaskan pemain pilihan kelima  Khosit Phetpradab dari Thailand, 21-11 and 21-11.

Seorang lagi pemain negara, Lee Zii Jia juga menempah tempat ke suku akhir dengan menyingkirkan  pemain Taiwan Yang Chih Chieh, 21-18 dan 21-15.

Malaysia tidak menghantar sebarang wakil beregu wanita dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300. - Bernama

Goh Jin Wei

Artikel Lain