Peter Velappan meninggal dunia - Sukan | mStar

Peter Velappan meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan meninggal dunia pagi Sabtu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John.

“Ya, kami mendengar berita itu. (Kami) masih mendapatkan butiran daripada anggota keluarga (mendiang),” katanya.

Bekas Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang genap berusia 83 tahun pada 1 Oktober lepas, meninggalkan isteri Datin Pavalam dan dua anak perempuan.

Berasal dari Siliau, Negeri Sembilan, bekas guru yang berkhidmat sebagai setiausaha agung AFC dari 1978 hingga 2007, memainkan peranan penting dalam mendapatkan hak untuk Korea Selatan dan Jepun bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia 2002, edisi pertama dan satu-satunya di Asia.

Beliau kemudian dilantik sebagai pengarah penyelaras Jawatankuasa Penganjur bagi kejohanan itu.

Dalam satu kenyataan daripada AFC yang dikeluarkan kemudian, Windsor berkata Peter telah menetapkan standard yang memberi aspirasi kepada semua pemain bola sepak Asia.

“Visi beliau untuk bola sepak Asia menjadi inspirasi kepada kita semua dan pencapaiannya dalam AFC dan FAM teguh berdiri sebagai monumen terhadap cintanya pada sukan ini.

“Beliau didedikasikan kepada bola sepak akar umbi dan pembangunan sukan ini di Asia. Adalah menjadi penghormatan untuk mengikut jejak langkah beliau,” katanya.

Sementara itu, Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata Peter berkhidmat dengan semangat dan profesionalisme, berita pemergiannya tentunya memberi kejutan dan kesedihan kepada semua yang terlibat dalam sukan bola sepak di benua ini.

“Bagi pihak seluruh keluarga bola sepak Asia, saya mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga seorang daripada ‘arkitek' paling penting dalam mengembangkan sukan ini di Asia,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian di United Kingdom dan Kanada, Peter berkhidmat sebagai seorang guru di Seremban, Negeri Sembilan, sebelum menjadi penolong setiausaha FAM dari 1963 hingga 1980, yang mana beliau juga merupakan pengurus pasukan bagi pasukan kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

Pada tahun 1968, beliau dilantik sebagai timbalan pengarah sukan yang pertama di Kementerian Belia, Kebudayaan dan Sukan yang baru ditubuhkan.

Mendiang juga merupakan setiausaha agung paling lama dalam sejarah AFC, berkhidmat di bawah tiga presiden AFC – Tan Sri Hamzah Abu Samah (1978-1994) dan Sultan Ahmad Shah (1994-2002), kedua-duanya dari Malaysia, serta Mohamad Hamman dari Qatar.

Ketika bertugas di AFC, beliau juga membantu FIFA, badan pentadbir dunia untuk bola sepak, dalam menganjurkan pelbagai kejohanan Piala Dunia dan Olimpik.

Walaupun bersara daripada AFC, mendiang tetap aktif dalam dunia bola sepak khususnya menerusi Vision Asia untuk mempopularkan sukan itu di peringkat akar umbi di seluruh Asia. - BERNAMA

Peter Velappan , AFC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

'Pendaki Bikini' ditemui mati kesejukan

Jutawan ditembak mati di luar rumah mewah