suria

Mourinho layak dihormati kerana bersikap jujur - Lukaku

PENYERANG Manchester United, Romelu Lukaku mempertahankan cara pengurusan Jose Mourinho yang menjadi kontroversi dengan berkata, jurulatih itu harus dihormati kerana tidak menyembunyikan perasaan sebenarnya seperti beberapa bos Liga Perdana yang lain.

Mourinho mempunyai hubungan tegang dengan beberapa pemainnya di kelab sejak mengambil alih pada 2016.

Paling ketara adalah hubungannya dengan Paul Pogba, namun Lukaku berkata bahawa dia lebih gemar sekiranya pengurus tersebut bersikap jujur.

"Orang harus menghargai itu, sekurang-kurangnya ada orang yang jujur seperti dia dalam dunia ini.

"Sebab kebanyakan pengurus dalam liga ini berpura-pura gembira," kata Lukaku kepada BBC.

Tambahnya, orang luar harus menghormati Mourinho yang mengekalkan personalitinya dan tidak malu untuk melakukan konfrontasi.

"Dia mahu kami membaiki diri. Dia seorang lelaki normal... dia baik dengan semua orang," tambah Lukaku.

Pemain itu mencadangkan agar pemain lain lebih kental menerima kritikan dan membalas dengan prestasi yang lebih baik.

"Kadang pemain bola sepak terasa hati. Kalau saya mendengar daripada pemain dulu dan sekarang, seorang pengurus tidak boleh bersuara tentang apa yang mereka mahu kerana berasa seperti diserang.

"Tapi saya tidak rasa pun diserang sebab itulah saya. Saya kental dan ia bukan datang daripada bola sepak, tetapi daripada latar belakang saya.

"Hubungan saya dengan Mourinho baik sahaja. Dia buat saya dan pemain ketawa, dia seorang yang mesra dengan keluarga. Dia berjuang untuk pemain-pemainnya, tapi dia seorang yang jujur," ujarnya. - Eurosport

Romelu Lukaku, Jose Mourinho

Artikel Berikut

Artikel Lain