Dua pelumba negara mara ke separuh akhir acara pecut - Sukan | mStar

Dua pelumba negara mara ke separuh akhir acara pecut

Mohd Azizulhasni (kiri) melepasi saingan peringkat Suku Akhir Men’s Sprint Heat 4 menentang atlet Jepun Yuta Wakimoto (kanan). - Bernama

JAKARTA: Dua pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempamerkan kayuhan cemerlang apabila mara ke peringkat separuh akhir acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia Jakarta-Palembang di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Rabu.

Mohd Azizulhasni yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, mudah menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dalam dua perlumbaan suku akhir.

Muhammad Shah Firdaus pula terpaksa bertarung pada perlumbaan ketiga pada aksi suku akhir menentang wakil China, Xu Chao sebelum meraih kemenangan 2-1.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pelumba berkenaan, terutama Muhammad Shah Firdaus yang terpaksa bersaing dalam tiga perlumbaan sebelum mengatasi pelumba China itu.

“Saya merasakan kita hanya melakukan separuh daripada tanggungjawab kita kerana kita tidak menjangkakan untuk mara sejauh ini. Jadi, banyak lagi perlu kita lakukan esok.

“Kedua-dua pelumba dalam keadaan prestasi baik, namun kita akan berdepan cabaran satu demi satu. Menjadi impian saya untuk melihat kedua-dua pelumba ini bersaing di perlumbaan akhir. Tetapi mereka perlu menewaskan lawan masing-masing terlebih dahulu sebelum beraksi di perlumbaan akhir,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Terdahulu, wakil tunggal negara dalam acara kejar mengejar individu, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff gagal melayakkan diri dalam acara berkenaan setelah menduduki tangga kelapan daripada 14 pelumba dengan catatan masa 4 minit 36.723 saat.  

Berdasarkan format pertandingan, hanya empat pelumba terbaik pada pusingan kelayakan, layak ke aksi penentuan pingat emas, perak dan gangsa.  

Dalam pada itu, pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net gagal meraih kedudukan podium dalam acara Omnium Wanita setelah mengutip 118 mata pada perlumbaan berkenaan.  

Pingat emas diraih pelumba Jepun, Yumi Kajihara dengan kutipan 138 mata, perak dimenangi pelumba Taiwan, Huang Ting Ying (126 mata), manakala pelumba Korea Selatan, Kim Youri terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa (121 mata).  

Untuk rekod, Malaysia sudah meraih satu pingat perak menerusi acara pecut berpasukan lelaki pada hari pembukaan acara berbasikal trek, Isnin lepas. - Bernama

Mohd Azizulhasni Awang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain