suria

Emas boling ubat duka skuad silat

Rafiq Ismail menduduki tempat pertama dengan jumlah 4005 sekaligus memenangi pusingan penentu pingat Emas menundukan kedua-dua pasukan Korea dengan 534 dan 511 jatuhan pin.
 -fotoBERNAMA

JAKARTA: Kontinjen Malaysia meneruskan aksi cemerlang dengan meraih satu emas, tiga perak dan satu gangsa pada hari kesembilan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Isnin.

Pemain boling elit negara, Muhammad Rafiq Ismail menyumbang pingat emas ketiga untuk Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan, Park Jong-woo dari Korea Selatan dengan keputusan 534-511 pada final Masters lelaki di Pusat Boling Bandar Sukan Jakabaring, Palembang.

Emas ketiga itu mengubat kedukaan skuad silat negara yang hanya mampu meraih dua perak dan satu gangsa pada aksi yang disulami dengan keputusan berat sebelah wasit pertandingan di Padepokan Pencak Silat Indonesia, Taman Mini Indonesia Indah.

Keputusan berat sebelah wasit pertandingan ketika aksi final kelas Putera E (65-70kg) melibatkan juara dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari dan pesilat Indonesia, Komang Harik Adi Putra, jelas mengundang kemarahan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mengarahkan Mohd Al-Jufferi untuk menarik diri.

Satu lagi perak acara silat disumbangkan oleh Muhammad Faizul Mohd Nasir dalam kelas Putera B (50-55kg) selain satu gangsa yang diraih oleh gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Muhamad Afifi Nordin dalam acara Ganda Putera.

Skuad berbasikal trek negara yang diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, Mohd Azizulhasni Awang turut menceriakan kem negara setelah menghadiahkan satu lagi perak dalam acara pecut berpasukan lelaki di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

Tambahan lima pingat pada Isnin menyaksikan kontinjen negara sudah meraih tiga emas, lapan perak dan enam gangsa sejak hari pertama pertandingan pada 19 Ogos lepas.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih dua emas dalam acara boling trio wanita dan skuasy individu wanita serta lima perak dalam acara ekuestrian, boling trio lelaki dan berpasukan wanita, sepak takraw (regu berpasukan) dan skuasy individu wanita.

Malaysia turut meraih lima gangsa yang disumbangkan oleh atlet taekwondo, Yap Khim Wen dalam acara Poomsae individu wanita, Mohd Nafiizwan Adnan (skuasy perseorangan lelaki), S. Prem Kumar (karate-kumite bawah 60kg lelaki) serta dua gangsa dalam acara silat menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg) dan Muhammad Robial Sabri dalam kelas Putera I (85-90kg).

Dalam pada itu, juara bertahan China sah mengekalkan kejuaraan keseluruhan edisi ke-18 temasya sukan itu selepas kekal unggul menerajui carta kutipan pingat dengan 86 emas, 62 perak dan 43 gangsa, diikuti Jepun (43-36-57) manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan pungutan 28-36-42.

Hari kesembilan pertandingan turut menyaksikan satu rekod baharu Asia dicipta pasukan Korea Selatan dalam acara berbasikal trek kejar mengejar lelaki dengan catatan masa 3 minit 56.247 saat.

Mereka memadam rekod terdahulu iaitu 4:03.595 saat yang dilakar pasukan China pada Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia 2014 di Mexico.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dalam beberapa acara pada hari kesembilan pertandingan (Selasa), antaranya berbasikal trek, memanah, renang seirama dan terjun. - BERNAMA

boling, Sukan Asia

Artikel Berikut

Artikel Lain