suria

Malaysian Tigress belasah Singapura 5-0

Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus di kejohanan Hoki Siri Terbuka Wanita 2018 selepas menewaskan tuan rumah, Singapura 5-0 di Stadium Sengkang pada aksi terakhir peringkat liga sepusingan (round robin) pada Jumaat.

Skuad Malaysian Tigress yang telah pun mengesahkan tempat di final sebelum aksi itu, mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol padang Nur Zafirah Aziz seawal minit pertama, sebelum Wan Norfaiezah Md Saiuti menggandakan jaringan lima minit kemudian.

Skuad kendalian Muhammad Dharmaraj Abdullah itu meneruskan buruan gol menerusi Nur Amirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-30, Fatin Shafika Md Shukri (min 56) dan Nuraini Abd Rashid (min 58) untuk berada di tangga teratas carta dengan 15 mata penuh.

Pada aksi final yang dijadualkan pada 3.45 petang, Malaysia akan mencabar Thailand, pasukan di tempat kedua, untuk kejuaraan.

Malaysia memulakan kempen pada kejohanan berkenaan dengan membelasah Indonesia 18-0 pada Sabtu lepas, membenam Hong Kong 10-0 sehari kemudian, diikuti kemenangan 8-1 ke atas Kazakhstan pada Selasa dan 4-0 menentang Thailand pada Rabu, sekali gus menempah tiket ke final.

Kejayaan mara ke final turut membolehkan skuad Malaysian Tigress menempah tempat ke pusingan seterusnya dalam kejohanan aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, iaitu Kejohanan Hoki Siri Final.- Bernama

Hoki Wanita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain