suria

Aminuddin serah kepada PBNS

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mencari pengganti sesuai bagi mengisi jawatan Presiden dan dua Naib Presidennya yang kosong sejak 6 Jun lalu.

Demikian respons Menteri Besar, Aminuddin Harun ketika diminta mengulas sama ada akan bertanding atau tidak membabitkan jawatan tertinggi dalam persatuan berkenaan ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sebenarnya minggu lepas, saya dikunjungi Timbalan Presiden merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Mat Ali Hassan).

Beliau maklumkan pada saya tentang peletakan jawatan mantannya dan beberapa lagi perkara berkaitan.

“Jadi saya kata (pada beliau) mengenai calon presiden, saya serahkan kepada persatuan untuk tentukan siapa akan mentadbir kelak. Lagipun, saya bukannya ahli gabungan buat masa ni,” katanya.

Selain itu katanya, beliau turut dimaklumkan berhubung isu pemangku presiden buat sementara waktu bagi memastikan pengurusan persatuan termasuk pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia berjalan lancar.

“Mereka (melalui Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNS) dah bersetuju bahawa hal ehwal pengurusan persatuan akan dipangku beliau (Mat Ali) sampai hujung musim ni, sehingga diadakan mesyuarat agung nanti,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya jika beliau mahu PBNS mengikut jejak langkah seperti Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang diterajui kerabat diraja, Aminuddin punya pandangan tersendiri.

“Kalau saya cakap serah (jawatan) tu, serah (jawatan) ni pun tak elok juga. Sebab kita tak tahu lagi, memandangkan belum jumpa ke bawah Duli Tuanku (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir).

“Dalam hal ni kena tanya Baginda, Baginda setuju nak memimpin (persatuan)? (Nak capai) semua tu, banyak benda perlu dilakukan terlebih dulu,” katanya.

Bagaimanapun kata Aminuddin, mentadbir dan mengepalai sesebuah persatuan bola sepak semestinya bukan tugas mudah.

“Jadi satu tanggungjawab besar untuk naikkan nama persatuan di persada bola sepak kebangsaan dan mungkin pergi ke peringkat antarabangsa.

“Tambah lagi, persatuan bola sepak merupakan satu pengurusan yang perlukan banyak duit. Itu permasalahan yang akan kita lihat secara keseluruhan supaya tak timbul kerumitan pada masa depan,” katanya.

Rabu lalu media melaporkan, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin dan Datuk Abd Ghani Hasan yang menyandang jawatan Naib Presiden PBNS turut mengikut jejak langkah Mohamad.

Sejajar dengan peletakan jawatan itu, posisi bendahari persatuan dan pengurus pasukan Liga Super Negeri Sembilan juga kosong berikutan sebelum ini digalas oleh Mohamad Haslah.

Sehubungan itu kata Mat Ali, Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Datuk Johani Hassan dilantik sebagai pemangku bendahari manakala pengurus baharu pula bakal ditentukan bila tiba masa sesuai. -Sinar Harian

PBNS, Aminuddin Harun

Artikel Sebelum

Artikel Lain