suria

Cardiff City: Vincent Tan ucap terima kasih kepada Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan mendedahkan bahawa sokongan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar membantu kelab itu kembali semula ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ahli perniagaan dari Malaysia itu berkata Sultan Johor menaja 3 juta pound (RM16 juta) untuk tiga tahun.

Cardiff kembali semula ke pentas EPL dan Tan berkata beliau tidak berniat mengubah logo Visit Malaysia di depan jersi utama pasukan itu.

"Saya berterima kasih kepada Sultan Johor kerana bersetuju menaja kami. Baginda adalah rakan kongsi perniagaan dan saya ada memberitahu baginda bahawa kami memerlukan penaja pada waktu itu. Tidak ramai tahu mengenai perkara ini.

"Saya rakyat Malaysia dan saya sayangkan negara saya. Saya tidak akan mengubah logo Visit Malaysia, malah Sultan Johor juga mahu mengekalkannya seperti itu.

"Saya faham bahawa Tourism Malaysia melantik pemain bola sepak Luis Suarez sebagai duta tetapi saya tidak fikir dia boleh kata dia duta kita ketika di atas padang.

"Kami kembali beraksi di EPL dan terdapat 4.8 bilion menonton di seluruh dunia, jadi saya fikir itu cara terbaik untuk kita mempromosikan negara ini," kata Vincent.

Mengenai harapannya untuk Cardiff, Vincent berharap agar kelab itu terus kekal dalam saingan EPL.

"Saya amat gembira Cardiff kembali beraksi di EPL. Saya berdoa agar kita dapat bertahan di sana untuk tempoh yang lama," katanya.

Cardiff yang diberi jolokan Bluebirds mengesahkan tempat ke EPL selepas seri 0-0 bertemu Reading dalam aksi Liga Kejuaraan pada 6 Mei lalu.

Vincent Tan, Cardiff City

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain