suria

Chin Chai Pengerusi C&T ganti Norza

Ng Chin Chai.

KUALA LUMPUR: Datuk Ng Chin Chai dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kejurulatih dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan keputusan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatan tersebut dalam badan induk sukan itu.

Pelantikan Chin Chai, yang juga setiausaha agung BAM, berkuat kuasa pada Khamis.

Mohamad Norza, yang menyandang jawatan tersebut selama tiga tahun, melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan kepada Akademi Badminton Malaysia (ABM) serta mencari penajaan baharu untuk persatuan tersebut.

Beliau menyifatkan Chin Chai sebagai seorang yang pengalaman dalam mengurus jawatankuasa itu sebelum ini dan perlu meneruskan usaha itu dengan mendampingi jurulatih dan pemain dalam meningkatkan prestasi skuad negara secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa C&T di ABM di sini, Khamis.

Sementara itu, Chin Chai, ketika ditemui selepas mesyuarat itu, berkata rancangan jangka panjang beliau adalah memberi tumpuan kepada pemain bawah 21 tahun bagi memastikan mereka berada dalam tahap kompetitif menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Beliau juga mengakui prestasi skuad Piala Thomas dan Uber tidak memberangsangkan apabila kedudukan ranking pasukan tidak berubah iaitu di tangga ketujuh bagi pasukan lelaki serta skuad wanita di kedudkan kesembilan pada edisi lalu di Bangkok.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan semula jawatan Pengarah Teknikal pada masa akan datang selepas legenda Denmark, Morten Frost Hansen, membuat keputusan mengejut apabila meletak jawatan itu pada September tahun lepas.

Bagaimanapun, Chin Chai berkata ketika ini tiada keperluan mewujudkan semula jawatan itu kerana barisan jurulatih sedia ada adalah berkaliber dan berpengalaman dalam menggalas tanggungjawab masing-masing.

Selepas pemergian Morten Frost, Mohamad Norza pernah menyuarakan pandangan berhubung jawatan tersebut namun kita akan berbincang semula sama terdapat keperluan untuk mewujudkan jawatan itu semula, katanya. - BERNAMA

Pengerusi C&T, BAM

Artikel Lain