Tengku Amir setuju terajui FAS - Sukan | mStar

Tengku Amir setuju terajui FAS

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal mendapat presiden baharu apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengesahkan bersetuju menerima tawaran mengemudi badan sukan bola sepak negeri itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas beliau, Tengku Amir berkata, FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan arena bola sepak Selangor.

"Baginda menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba ataupun mencari kesalahan lampau," kata Mohamad Munir.

Beliau berkata, Tengku Amir sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS dan pasukan bola sepak Selangor terus mara ke hadapan.

"Oleh demikian, baginda menyeru rakyat untuk bersama-sama menyokong penuh pembaharuan yang dilakukan baginda apabila menerajui FAS nanti," katanya.

Mohamad Munir berkata Tengku Amir yakin pasukan Selangor akan berupaya mencapai kegemilangan pada masa akan datang.

Presiden FAS ketika ini, Datuk Seri Subahan Kamal sudah menyatakan kesediaan baru-baru ini untuk berundur bagi memberi laluan kepada Tengku Amir Shah.

Subahan, 53, membuat keputusan untuk melepaskan kerusi No.1 itu kerana bebanan tugas apabila turut memikul tanggungjawab sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Beliau dipilih sebagai Presiden FAS pada Februari tahun lalu bagi memimpin persatuan itu bagi penggal 2017-2021.

Subahan masih kekal sebagai Presiden FAS sehingga Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk berkenaan diadakan pada 3 Julai ini.



FAS , Tengku Amir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel