suria

Sports Arena beri potongan harga selepas GST sifar peratus

KUALA LUMPUR: Pusat sukan, Sports Arena menyambut baik pengumuman kerajaan menetapkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus, dan akan menawarkan potongan harga penggunaan  kemudahan sukan di pusat berkenaan sehingga 30 peratus, mulai Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jack Koh berkata kekerapan pelanggan yang sering meluangkan masa beriadah  di pusat sukan itu semakin berkurangan berikutan kenaikan kadar sewaan gelanggang setelah GST diperkenalkan sejak April 2015.

“Sebagai menghargai pelanggan, kami berbincang dan bersetuju mengumumkan kadar baharu penyewaan kemudahan sukan dengan potongan harga sehingga 30 peratus bermula 1 Jun ini,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Sports Arena merupakan antara pusat sukan serba moden, terkini dan selesa yang bukan sahaja menyediakan kemudahan sukan, malah turut menawarkan aktiviti berkaitan kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata langkah menawarkan kadar baharu lebih rendah itu juga adalah salah satu kempen untuk menggalakkan masyarakat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.

Sports Arena mempunyai empat cawangan iaitu Sports Arena Sentosa di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama; Sports Arena Mahkota Cheras; Sports Arena Puchong dan Sports Arena Bukit Serdang.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kadar GST dikurangkan daripada enam peratus kepada sifar peratus, berkuat kuasa 1 Jun.

Sports Arena

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain