suria

Klopp mahu jumpa ibu Dembele

JURGEN Klopp mahu bertemu ibu Ousmane Dembele dalam usaha untuk menyakinkan bintang Barcelona itu supaya menyertai Liverpool pada musim panas ini.

Penyerang Barcelona itu merupakan sasaran utama Klopp tetapi Liverpool pastinya berdepan laluan berliku untuk mendapatkan khidmatnya.

Dembele tidak yakin sama ada keputusan meninggalkan Barcelona hanya selepas satu musim berhijrah ke Sepanyol sebagai sesuatu yang masuk akal.

Malah lembaga pengarah Liverpool memberitahu Klopp bahawa bidaan sebanyak 88 juta pound sterling belum tentu dapat merealisasikan perpindahan Dembele.

Dembele meninggalkan Dortmund hanya selepas satu musim memperkuat kelab Bundesliga itu dan mempamerkan aksi cemerlang pada musim pertama bersama Barcelona.

Pemain berusia 21 tahun itu menjaringkan empat gol dan membantu mencipta sembilan gol dalam 24 penampilannya.

Barcelona masih enggan melepaskan pemain muda itu tetapi kehadiran Antoine Griezmann pada musim panas ini boleh menyebabkan Dembele meninggalkan kelab itu.

Klopp mahu memantapkan jentera serangan The Reds untuk mengurangkan tekanan tiga pemain bintangnya iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Liverpool sudah membawa masuk Fabinho dari Monaco dan berusaha memuktamadkan rundingan dengan penyerang Lyon, Nabil Fekir.

Artikel Berikut

Artikel Lain