suria

Nidzam Adzha rehatkan dua pemain

Mohd Nidzam Adzha Yusof

KEDAH terpaksa merehatkan dua pemain mudanya kerana tidak cergas untuk turun menentang Melaka United di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusof berkata, Ariff Farhan Md Isa dan Halim Shaari tidak dapat membantu skuad hijau kuning kerana demam dan dia akan memberi peluang kepada pemain lain.

Jelasnya, percaturan semula terhadap kesebelasan utama berkenaan mungkin akan memberi peluang untuk kelima-lima import diturunkan pada perlawanan kali ini.

"Semua pemain import kini berada dalam keadaan sedia untuk bermain lawan Melaka United. Disebabkan kita tidak dapat turunkan Ariff Farhan dan Halim, mungkin kesemua mereka dapat digunakan kali ini.

"Dalam perlawanan menentang Selangor, Paulo Rangel telah membuat penampilan pertama tetapi kita tidak dapat menurunkan Andik Vermansyah, tapi kali ini kita mungkin akan gandingkan kesemua mereka.

"Apa yang pasti barisan jurulatih akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik kita memandangkan perlawanan ini berlangsung Stadium Darul Aman," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam turut mengingatkan pemain untuk tidak leka dan melakukan kesilapan yang akan memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol dan mencipta kemenangan.

Jelasnya, pemain tidak boleh memandang rendah keupayaan Melaka United kerana setiap pasukan kini mempunyai peluang untuk berada di kedudukan terbaik Liga Super.

"Pemain perlu memberi perhatian sepanjang perlawanan kerana kita juga tidak mahu lawan melakukan kejutan di minit-minit akhir permainan akibat hilang fokus.

"Saya juga berharap sorakan penyokong Kedah dapat membakar semangat pemain untuk berjuang habis-habisan dan menamatkan permainan dengan kemenangan," ujarnya.

Artikel Lain