suria

Salah minta ejen atur keluar Anfield

BERITA jendela perpindahan Liverpool nampaknya menjadi semakin panas apabila bintang sensasinya Mohamed Salah didakwa mahu meninggalkan Anfield, menurut laporan di Sepanyol.

Pemain kebangsaan Mesir itu cemerlang di bawah pimpinan Jurgen Klopp musim ini apabila meledak 44 gol dalam semua perlawanan.

Salah, 25, memberi bayangan bahawa dia akan meninggalkan Liverpool pada musim panas ini dengan Real Madrid berminat terhadap bekas pemain Chelsea itu.

Menurut laporan Don Balon, Salah telah memaklumkan kepada ejennya untuk menguruskan proses keluar dari Anfield.

Malah, Manchester United dan Manchester City turut berminat untuk memburu Salah.

Real, United dan City mampu membayar harga yang diminta Liverpool untuk melepaskan Salah yang dilaporkan bernilai sekitar 175 juta pound sterling.

Pengurus Red Devils Jose Mourinho yang dijangka sedia berbelanja besar pada musim panas ini, menjual Salah semasa mengemudi Chelsea.

Mourinho mahu berbelanja besar kerana ingin menyaingi City selepas menyaksikan anak buah Pep Guardiola itu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Namun Liverpool enggan menjual Salah dan tidak akan melayan sebarang bidaan daripada seteru mereka.

Salah terpaksa dikeluarkan pada babak pertama aksi final Liga Juara-Juara selepas bergelut dengan kecederaan bahu akibat dikasari bintang Real, Sergio Ramos.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada Salah akan pulih sepenuhnya untuk aksi Piala Dunia bulan depan.

Salah berlepas ke Sepanyol semalam untuk menjalani rawatan bahunya.

Mohamed Salah, Liverpool

Artikel Berikut

Artikel Lain