suria

Wan Kuzain buat penampilan sulung MLS

KUALA LUMPUR: Pemain meningkat naik berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal mencipta sejarah apabila membuat penampilan sulung pada Liga Amerika Syarikat (MLS) bersama pasukan  Sporting KC yang terikat tanpa jaringan menentang Columbos, pada Ahad.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu membuat penampilannya tersebut apabila masuk menggantikan Roger Espinoza pada minit ke-87, sekali gus menjadi pemain kedua kelahiran Malaysia beraksi dalam MLS selepas pemain kelahiran Sarawak, Shaun Maloney beraksi bersama Chicago Fire pada 2015.

Sporting KC dalam laman web rasminya berkata Wan Kuzain, yang sudah membuat sembilan penampilan musim ini dalam Liga Bolasepak United (USL) di Amerika Syarikat bersama pasukan gabungannya, Swope Park Rangers (SPR), adalah pemain pertama dalam sejarah kelab itu daripada akademi ke kelab gabungan, SPR dan kemudian diserapkan dalam pasukan senior.

Wan Kuzain, pemain yang dibentuk di Akademi Bola Sepak St Louis Scott Gallagher, mula menarik minat netizen di Malaysia selepas beliau dipilih menjalani latihan bersama pasukan Bawah 17 Tahun Amerika Syarikat pada 2015.

Beliau kemudian menyertai akademi Sporting KC pada 2016, sebelum melebarkan kariernya dalam pasukan SPR pada 2017, dan munucl pemain Malaysia pertama merangkul trofi Kejohanan Persidangan Barat USL pada November tahun lepas.

Untuk rekod, berikutan kedua ibu bapanya dilahirkan di Malaysia, Wan Kuzain mempunyai pilihan untuk mewakili Malaysia pada sebarang kejohanan bola sepak.-- Bernama


MLS, Wan Kuzain

Artikel Berikut

Artikel Lain