suria

Pahang benam Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pahang kembali menghidupkan peluang mencabar kejuaraan Liga Super 2018 selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat malam.

Gol pembukaan skuad Tok Gajah hadir seawal minit ketujuh menerusi Mohamad Muslim Ahmad yang menanduk padu bola hasil sepakan percuma Muhamad Nor Azam Abdul Azih, sebelum jaringan Muhammad Safuwan Baharudin pada minit ke-41 memberikan bekalan selesa buat Pahang pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pemain import dari Kanada, Issey Nakajima mudah menanduk bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat untuk gol ketiga pada minit ke-53 sebelum Amamchi Augustine Iwuji melengkapkan kemenangan Pahang 4-0 menerusi jaringan di penghujung babak permainan.

Kemenangan malam ini, menempatkan Pahang kembali menduduki tangga kedua liga dengan 21 mata selepas mengharungi 12 daripada keseluruhan 22 perlawanan, dengan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sementara itu, pada aksi Liga Premier malam ini, menyaksikan Johor Darul Tazim II (JDT II) dan MIFA turut membawa pulang tiga mata penuh selepas menundukkan lawan masing-masing.

JDT II mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, hasil jaringan Bruno Soares pada minit ke-12 diikuti gol kemenangan melalui Darenn Lok (minit ke-45) yang memadamkan jaringan penyamaan Terengganu FC II menerusi Akanni Wasiu pada minit ke-16.

Di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pula menyaksikan UiTM FC tunduk 0-2 kepada MIFA.Dua gol MIFA dijaringkan Satish Krishnan pada minit ke-41 dan Kpah Sean Sherman (minit ke-74).- Bernama

Liga Super, KL, Pahang

Artikel Berikut

"Saya tinggi, Salah..."

Artikel Lain