suria

Cassio kena tegur "jangan ulangi kesilapan sama"

Cassio Fransisco De Jesus.

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim memberi kata dua kepada pemain import Cassio Fransisco De Jesus supaya tidak mengulangi kesilapan sama ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam Sabtu.

Pengendali kelahiran Serbia itu berkata Cassio melakukan banyak kesilapan terutamanya ketika kekalahan teruk 5-1 di tangan Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

"Dia melepaskan tiga gol mudah kepada lawan. Kesilapan itu ternyata menjejaskan rentak pasukan sehingga tamat perlawanan.

"Ia bukan kesilapan jurulatih tapi (kesilapan) individu. Jadi Cassio harus bertanggungjawab terhadap kekalahan itu," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Fajer berkata beliau sudah menegur Cassio berhubung kelemahan tersebut.

"Saya sudah bercakap dengannya mengenai perkara itu dan dia mengakui gol dijaringkan PKNP, JDT, Negeri Sembilan dan KL berpunca daripada kesilapan jelas yang dilakukannya," kata Fajer.

Ditanya sama ada beliau akan merehatkan Cassio malam esok, Fajer berkata beliau terpaksa menurunkan pemain Brazil itu.

"Saya tiada pemain gantian lain sekiranya Cassio tidak diturunkan," katanya.

Fajer berkata Kelantan memerlukan pemain import baharu memandangkan mereka kini hanya diperkuat Cassio dan Alaeddine Bouslimi dari Tunisia.

"Ketiadaan pemain import juga sedikit sebanyak mempengaruhi corak persembahan pasukan. Kita hanya ada dua pemain import setakat ini dan itu tidak mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, Fajer berkata ketiadaan padang yang sempurna menyebabkan anak buahnya tidak menjalani latihan dengan baik.

"Persiapan kami amat teruk. Kami tidak berlatih dengan sempurna di Kota Bharu kerana tiada padang untuk latihan.

"Sehingga hari ini saya tidak dapat melakukan sebarang pergerakan teknikal untuk pasukan kerana kami berlatih di sebuah kawasan kecil dengan keadaan padang yang teruk di Ketereh," katanya.

Jelas Fajer, mereka tidak menjalani latihan di padang latihan Mardi kerana ketiadaan lampu memandangkan mereka perlu berlatih pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan.

"Tiada lampu di padang kerana kami perlu berlatih pada pukul 11 malam hingga 12.30 tengah malam. Jadi kami terpaksa berlatih di sebuah padang kecil di Ketereh.

"Saya juga bimbang pemain saya akan mengalami kecederaan dengan keadaan padang yang teruk itu," katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak yang mahu beliau bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi Kelantan, Fajer berkata beliau sudah melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Saya hanya akan fokus pada tugas saya dan enggan ambil pusing dengan apa orang lain kata. Namun saya hormati pandangan mereka," katanya.

Artikel Lain