suria

PSG Juara Piala Perancis

PARIS: Paris St Germain (PSG) dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pasukan divisyen tiga, Les Herbiers 2-0 untuk menjuarai Piala Perancis.

Dengan kemenangan itu, pasukan tersebut sekali gus merangkul tiga gelaran domestik musim ini.

Gol kemenangan kelab gergasi Perancis itu dijaringkan Giovani Lo Celso dan Edinson Cavani pada kedua-dua babak permainan.

Selepas Lo Celso menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-26, PSG terpaksa menunggu agak lama sebelum Cavani meledak gol kedua menerusi penalti pada minit ke-74 untuk mengesahkan kejuaraan.

Ia adalah kemenangan ke-12 PSG dalam kancah Piala Perancis yang juga rekod baharu dalam saingan berkenaan.

Kemenangan menyaksikan PSG mengharungi 42 perlawanan tanpa kalah dalam kempen piala tetapi mereka turut menggegar palang Les Herbiers sebanyak tiga kali dalam tempoh 20 minit perlawanan.

Les Herbiers yang bergelut dalam zon penyingkiran divisyen tiga bertahan dengan baik tetapi gagal untuk melakukan kejutan terbesar di Stade de France.

Selepas mengesahkan kejuaraan Ligue 1 dan Piala Liga, kejayaan menjulang Piala Perancis menyaksikan jurulatih PSG, Unai Emery akan meninggalkan kelab berkenaan dengan penuh bangga.

Kontrak pengendali dari Sepanyol itu tidak diperbaharui pada penghujung musim ini dan beliau kini mempunyai dua lagi perlawanan liga untuk dikendalikan.

PSG, Piala Perancis

Artikel Lain