suria

Perak melonjak ke tangga kedua, S'gor diikat PKNP FC

Pemain Perak Gilmar Jose Da Silva Filho (tengah) meraikan jaringan gol kedua bersama rakan-rakan pada perlawanan bola Liga Super Perak bertemu Terengganu FC di Stadium Perak malam Ahad. - Bernama

KUALA LUMPUR: Perak berjaya melonjak ke kedudukan kedua carta Liga Super 2018 selepas berhempas pulas mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Terengganu FC I di Stadium Perak, Ipoh, malam Ahad.

Kemenangan tipis itu membolehkan skuad bimbingan Mehmet Durakovic hanya ketinggalan empat mata dengan  pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang mengumpul 24 mata, selepas masing-masing mengharungi sembilan perlawanan musim ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 8,000 penonton, Perak membuka jaringan seawal minit kelima apabila rembatan Wander Luiz Junior daripada luar kotak penalti terus menerjah ke sebelah kanan gawang Terengganu mengatasi penjaga gol, Mohd Suffian Rahman.  

Tersentap dengan jaringan itu, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 hasil jaringan pemain sayap kanan, J.Partiban, namun skuad ‘The Bos Gaurus' tidak berpatah semangat apabila pemain import dari Brazil, Gilmar Jose Da Silva menambah jaringan, dua minit kemudian.

Gilmar sekali lagi menjadi pemusnah kepada pasukan pelawat apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38, berpunca daripada bola yang terkena tangan pertahanan import Terengganu FC I, Igor Zonjic, dalam kotak penalti.

Pemain Selangor Rufino Segovia Del Burgo (kiri) cuba menanduk bola sambil diasak pemain PKNP FC Mohammad Raffi Nagoorgani (dua, kiri).

Bersambung babak kedua, skuad Sang Penyu berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pemain importnya, Lee Tuck pada minit ke-79 selepas penjaga gawang Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengasari penyerang import lawan, Tchetche Kipre.

Sementara itu, Selangor gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini.

Skuad Gergasi Merah membuka jaringan menerusi S. Veenod pada minit ke-53, namun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir (min 94) menerusi Mohamad Hafiz Ramdan, sekali gus menyaksikan Selangor mengalami keputusan seri pertama bagi musim ini.

Keputusan ini turut menyaksikan PKNP FC terus kekal di tempat ketujuh carta dengan 11 mata, manakala Selangor berjaya memintas Melaka United untuk meraih tempat kesembilan dengan 10 mata. - Bernama

Liga Super 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain