Elavarasan sah dilantik Ketua Jurulatih Melaka United - Sukan | mStar

Elavarasan sah dilantik Ketua Jurulatih Melaka United

E Elavarasan.

BEKAS pengendali PKNS FC, E Elavarasan sah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Melaka United yang baharu bagi menggantikan Eduardo Almeida yang dipecat minggu lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pelantikan ini dan memaklumkan kedua-dua pihak akan menandatangani kontrak pada petang ini.

"Elavarasan akan menandatangani kontrak bersama kita hari ini dan beliau akan mengemudi pasukan Melaka United di pusingan kedua Liga Malaysia.

"Kita tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik, cuma saya mengharapkan sentuhannya dapat mengekalkan Melaka yang sedang berada di situasi kritikal buat masa ini," katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai rombakan pemain import, Yusoff berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Elavarasan untuk membuat pilihan pemain, namun keputusan akhir akan bergantung kepada pihak pengurusan.

"Kita tak mahu jadi macam jurulatih sebelum ini. Kita serahkan sepenuhnya, tetapi pemain import gagal menyerlah.

"Jadi, diharapkan Musa dan Elavarasan akan membentuk satu persefahaman terbaik bagi memastikan pasukan akan lebih berdaya saing selepas ini," katanya lagi.

Elavarasan bukan nama asing dalam kancah Liga-M apabila pernah membawa PKNS FC ke pentas final Piala FA pada 2016, selain beliau juga pernah membimbing skuad Melaka pada musim 2008 sehingga 2009. - Sinar Online

E Elavarasan , Melaka United

Artikel Sebelum

Nabil Fekir setuju pindah ke Anfield

Artikel Berikut

Artikel Lain