suria

Harapan Chong Wei rangkul juara BAC tidak kesampaian

KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul kejuaraan ketiga pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2018 di Wuhan, China, tidak kesampaian apabila tumpas kepada  pemain Jepun, Kento Momota di separuh akhir pada Sabtu.

Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Chong Wei yang merupakan pemain pilihan kelima kejohanan, tewas kepada pemain Jepun semakin menyerlah itu dengan straight set 19-21 dan 14-21 dalam masa 54 minit perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Wuhan.

Terdahulu, pemain negara berusia 35 tahun itu yang juga juara pada 2006 dan 2016, menempah tempat ke separuh akhir selepas menyingkirkan pemain pilihan utama, K. Srikanth dari India di suku akhir pada Jumaat.

Sementara Momota, yang membuat kemunculan semula penuh sensasi selepas setahun digantung kerana terlibat dengan perjudian pada 2016, meneruskan rentak cemerlangnya apabila menumpaskan Chou Tien-chen dari Taiwan untuk berdepan Chong Wei di separuh akhir.

Kejayaan bekas  pemain nombor satu Jepun itu juga setelah mendapat lebih motivasi selepas layak beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di China, Ogos depan, selepas tidak menyertainya pada edisi tahun lepas.

Pada perlawanan akhir esok, Momota akan berdepan pemain nombor tiga dunia Chen Long dari China, yang sebelum itu mengalahkan pemain India, H.S. Prannoy dengan straight set, 21-16 dan 21-18.- Bernama

Lee Chong Wei, BAC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain