suria

Nazifuddin dakwa wujud dominasi seorang 'individu' di MOM

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, mendakwa bahawa wujudnya dominasi seorang ‘individu' dalam badan induk itu.

Beliau, yang akan bertanding jawatan setiausaha agung MOM, pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 5 Mei ini, berkata apabila seseorang individu memegang jawatan bagi tempoh yang lama, keputusan yang dibuat oleh badan itu boleh  dipengaruhi oleh legasi dan emosi individu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan individu berkenaan.

Justeru, seandainya menang pada pemilihan kali ini, beliau berjanji memastikan semua keputusan diambil secara telus dan sistematik, termasuk pemilihan atlet dan ketua kontinjen (CDM) untuk temasya sukan.

Mohd Nazifuddin, yang juga timbalan presiden Taekwondo Malaysia, akan mencabar kerusi panas yang disandang oleh Datuk Low Beng Choo  pada pemilihan bagi penggal 2018-2021.

Selain itu, beliau turut berjanji untuk berjuang bagi membantu persatuan-persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang menghadapi masalah, selain memberikan nafas baharu kepada bangunan Wisma MOM dan hotel yang terletak di Jalan Hang Jebat di sini.

 “Selepas satu penggal menjadi naib presiden, saya membuat keputusan untuk bertanding jawatan setiausaha agung kerana saya lihat banyak perubahan yang boleh dibuat. 

Kini MOM macam satu institusi yang lebih mementingkan individu,” katanya pada sidang di sini Rabu.

“MOM seharusnya tidak jadi macam bos kepada NSA, tetapi harus membantu mereka...misalnya apabila sukan taekwondo, angkat berat dan sepak takraw dikeluarkan sebagai sukan teras, sepatutnya MOM telah menolong dan berpihak kepada NSA,” katanya.

Mohd Nazifuddin juga berjanji untuk membawa lebih banyak wakil generasi muda ke dalam MOM serta mahu generasi muda mengenali MOM, kerana menurutnya, ramai golongan muda tidak mengenali MOM buat masa ini. - Bernama

Nazifuddin Najib

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain