suria

Cheng Hoe Nafi Gugur Pemain, Jangan Salahkan Presiden

Skuad Harimau Malaya yang turun menentang Mongolia pada Jumaat.Foto: FAM

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe nafi menggugurkan pemain sebaliknya hanya proses penggiliran.

Cheng Hoe membuat perubahan drastik selepas mencatat seri 2-2 ke atas Mongolia pada aksi persahabatan 'Kelas A' Jumaat malam.

"Saya ingin menjelaskan di sini bawah kehadiran sembilan pemain baharu dalam sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi (Jumaat) adalah merupakan proses penggiliran pemain bagi memberi peluang kepada mereka diturunkan untuk perlawanan berikutnya bertemu Lebanon pada 27 Mac dan Nepal pada 1 April.

"Mereka terdiri daripada Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri Fauzi (PKNP), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol Bahari (Perak), Syawal Nordin (Kedah) dan Kogileswaran Raj (Pahang).

"Kehadiran sembilan pemain ini bukannya untuk menggantikan mana-mana pemain atau bermaksud ada pemain yang telah digugurkan seperti dakwaan di media sosial, tetapi ia lebih kepada amalan penggiliran pemain," jelas Cheng Hoe dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe memberitahu, perubahan ini dibuat berdasarkan desakan daripada penyokong bola sepak negara.

"Segelintir penyokong yang mahu kita mencuba pemain lain untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya," jelasnya.

Seramai 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dilepaskan Cheng Hoe yang terdiri daripada kapten Safiq Rahim, Ahmad Hazwan Bakri, Darren Lok, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, S. Kunanlan, Afiq Fazail, Syafiq Ahmad, Adam Nor Azlin, Haziq Nadzli, Natxo Insa dan La’vere Corbin-Ong.

Selain itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin meminta semua pihak perlu realistik dengan keputusan yang dicapai itu.

"Kita akui bahawa keputusan seri 2-2 dengan Mongolia adalah sesuatu yang mengecewakan kerana skuad Harimau Malaya terus kempunan untuk mencatat kemenangan dalam 11 perlawanan selepas kali terakhir kita berjaya melakukannya ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi sulung Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar pada 20 November 2016.

"Memang jika berdasarkan ranking Malaysia di kedudukan ke-178 dunia berbanding Mongolia ke-189 dunia, kita sepatutnya menang perlawanan ini tetapi selepas dua kali mendahului, kita dibolosi dua gol mudah yang berpunca daripada kesilapan individu dan sedikit kelekaan.

"Nasib juga nampaknya seakan tidak memihak kepada kita apabila tandukan Fadhli Shas terkena tiang dan sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor menggegar palang. Jika tidak, sekurang-kurangnya kita sudah berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan selama 16 bulan ini.

"Apa pun kita semua perlu realistik memandangkan ini perlawanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe yang baharu berkumpul selama lima hari sejak Ahad lalu dan beliau masih dalam tempoh permulaan untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang akan berlangsung dalam tempoh tujuh atau lapan bulan lagi iaitu bermula 8 November depan," jelasnya dalam satu kenyataan.

Kata Hamidin, barisan kejurulatihan masih cuba mencari kombinasi terbaik dan membentuk persefahaman mantap di kalangan pemain yang dipanggil.

"Saya yakin mereka akan tampil dengan aksi lebih baik pada perlawanan-perlawanan akan datang termasuk bertemu Lebanon dan Nepal. Justeru dalam keadaan sebegini, para penyokong dan peminat bola sepak tanah air tidak boleh menyalahkan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim seorang saja di atas kegagalan skuad Harimau Malaya menewaskan Mongolia, malam tadi.

"Kami semua di FAM termasuk jurulatih dan pemain sendiri perlu sama-sama memikul tanggungjawab ini bagi memperbaikinya pada perlawanan akan datang.

"Penyokong kita juga perlu mencontohi penyokong di luar negara yang mana mereka terus akan memberikan sokongan tidak berbelah bagi ketika menang atau kalah, bukannya terus mengkritik dan menghina pasukan setiap kali gagal mencatat kemenangan.

"Jika kita tidak menyokong skuad Harimau Malaya, siapa lagi," ujarnya.

Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain