suria

P.Pinang Juara Piala Emas Raja-Raja

Pasukan Pulau Pinang menjulang Piala Emas Raja-Raja 2017 selepas menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam Sabtu. fotoBERNAMA

KOTA BHARU: Pulau Pinang berjaya menamatkan kemarau 15 tahun untuk menjulang Piala Emas Raja-Raja apabila mengalah Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir edisi ke-77 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam Sabtu.

Penyerang Muhd Sharulnizam Anuar menjadi wira Pulau Pinang apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-112 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga 90 minit masa perlawanan sebenar.

Muhd Sharulnizam yang bergerak solo di kawasan petak penalti berjaya melepasi tiga pertahanan Kelantan sebelum merembat masuk bola, menewaskan penjaga gol tuan rumah,Mohd Farmie Hussin.

Separuh masa pertama Pulau Pinang menguasai perlawanan dalam usaha mencari gol kemenangan bagi mengulangi kejayaan sebagai juara pada 2002.

Pulau Pinang berjaya menjaringkan gol pertama melalui pemain Muhd Nazrul  Najmi Mohd Noor pada minit ke-87.

Pasukan tuan rumah yang mahu mengulangi kejayaan merangkul piala tersebut tujuh tahun lalu (2010) kemudian menyamakan kedudukan hasil tandukan Mohd Asraff Alifuddin pada minit ke-92.

Atas kejayaan itu, skuad Pulau Pinang membawa pulang hadiah RM45,000 serta piala pusingan manakala Kelantan selaku naib juara meraih hadiah RM20,000. - BERNAMA

Piala Emas Raja-Raja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain