suria

SPRM Panggil Pemain Kedah Beri Keterangan

ALOR SETAR: Beberapa pemain pasukan Kedah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berhubung dakwaan rasuah, menjual permainan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 4 Nov lepas.

Tanpa memberitahu secara terperinci, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau menyambut baik tindakan yang diambil suruhanjaya berkenaan yang dilihat dapat mempercepatkan  siasatan terhadap isu itu.

“Saya dimaklumkan SPRM ada memanggil beberapa pemain...saya anggap itu perkara biasalah apabila sudah ada tular tentang rasuah jadi menjadi hak mereka (SPRM) untuk panggil buat siasatan.

“Kami di pihak KFA tak buat tuduhan itu tapi netizen yang buat...namun berapa ramai yang sudah dipanggil saya tiada maklumat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Chillex MB Kedah Bersama Rakan Media Sosial dan Pengikut Media Sosial di kediaman Menteri Besar di Seri Mentaloon di sini pada Sabtu.

Sebelum ini tular di media sosial mengatakan tujuh pemain skuad Lang Merah  itu disogok RM200,000 seorang pada perlawanan tersebut.

Sehubungan itu, Menteri Besar sangat mengharapkan agar isu yang tular di media sosial tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin demi menjaga imej persatuan itu serta membetulkan persepsi buruk peminat dan penyokong bola sepak negeri ini.

Ahmad Bashah juga meminta mana-mana pemain yang mempunyai bukti berhubung kegiatan rasuah itu supaya membuat laporan kepada SPRM. - Bernama

SPRM, Helang Merah, KFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain