suria

TRW Kekal 60 Peratus Muka Lama

KELANTAN yang digembar-gemburkan bakal melakukan rombakan besar sebaliknya memilih untuk mengekalkan 60 peratus muka lama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang semakin kompetitif pada musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Husin Deraman mengesahkan sebahagian besar pemain musim ini masih lagi diberi kepercayaan menggalas cabaran The Red Warriors (TRW) pada kempen Liga Super.

“Hampir 60 peratus muka lama dikekalkan untuk musim depan. Sabtu (esok) ini, Kafa hanya akan umumkan senarai pemain tempatan sahaja.

“Mengenai pemain luar, kita belum buat keputusan. Jadi kita tidak boleh beritahu siapa yang akan menyarung jersi Kelantan buat masa ini,” katanya.

Difahamkan, antara pemain yang disebut-sebut kekal adalah kapten, Mohd Badhri Radzi, Mohd Norfarhan Muhammad dan Khairul Fahmi Che Mat, selain kepulangan semula pemain yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim.

Mengenai calon pengemudi baru, beliau memberitahu, khabar angin mengatakan Ketua Jurulatih Home United FC, Aidil Sharin berminat melatih pasukan itu tidak benar.

“Selepas rundingan dengan Velizar Popov gagal tempoh hari, memang kita ada terima banyak permohonan jurulatih asing untuk membimbing Kelantan. Tapi setakat ini, Sathit (Bensoh) kekal memangku tugas jurulatih pasukan ini,” katanya.

Sementara itu, Husin mempertahankan pendirian Kafa mengadakan pemilihan pemain amatur untuk diserap ke TRW sekalipun dikritik bekas pemain negeri itu.

Menurutnya, beliau tidak menganggap pendekatan itu undur ke belakang sebaliknya menjelaskan ia memberi kebaikan kepada pembentukan pasukan untuk masa depan.

“Kita hantar surat kepada PBJ (Persatuan Bola Sepak Jajahan) dan minta mereka hantar lima pemain terbaik yang dirasakan layak sertai pemilihan tersebut. Lagipun pemilihan ini dibuat atas permintaan PBJ sendiri.

“Saya tak rasa cara kita ini kekampungan kerana ia dibuat secara tertutup. Kalau ada pemain berpotensi, tak mustahil boleh serap ke skuad senior, tetapi kita lihat ada dua tiga pemain boleh dipilih ke skuad Piala Presiden dan Piala Belia,” katanya.

Akhbar ini pada Khamis melaporkan dua bekas pemain Kelantan, Salim Mahmud Muhaidin dan Afandi Yusof mengkritik Kafa berhubung pemilihan pemain yang beraksi dalam Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) dikendalikan panel kejurulatihan badan induk itu.  - Sinar Online

TRW

Artikel Sebelum

Ronaldo Akui Sudah Berubah

Artikel Berikut

Tok Gajah Gugur Lapan Pemain

Artikel Lain