suria

Chelsea Buat Silap Besar

Martin Keown.

BEKAS pemain pertahanan Arsenal, Martin Keown mendedahkan Chelsea telah melakukan kesilapan besar apabila membenarkan tiga pemain The Blues meninggalkan pasukan itu.

Trio yang dimaksudkan adalah Kevin de Bruyne, Romelu Lukaku dan Mohamed Salah.

Ketiga-tiga mereka dianggap sebagai antara pemain terbaik Liga Perdana Inggeris setakat ini.

De Bruyne menyerlah bersama Manchester City dengan Eden Hazard pernah menyifatkan bekas rakan pasukannya itu sebagai pemain terbaik liga.

Kevin de Bruyne.

Semasa bersama Chelsea dia hanya melakukan sembilan penampilan sebelum dijual kepada Wolfsburg dengan yuran perpindahan bernilai 18 juta pound sterling.

Salah pula menonjol bersama Liverpool apabila meledak 12 gol setakat ini.

Dalam tempoh 18 bulan bersama Chelsea, Salah hanya beraksi dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum dipinjam dan dijual kepada Roma.

Mohamed Salah.

Sementara itu, Lukaku menyertai Manchester United dengan bidaan sebanyak 75 juta pound sterling pada Ogos lalu.

Dia menjaringkan 11 gol bersama Red Devils setakat ini.

Dia dipinjamkan ke West Brom dan Everton sebelum Chelsea menjualnya kepada United.

Keown memberitahu Daily Mail bahawa trio itu amat berbakat dan mengakui Chelsea melakukan kesilapan besar kerana tidak mengekalkan mereka di Stamford Bridge.

"Semua pemain ini amat berbakat dan Chelsea silap kerana melepaskan mereka.

"Namun apabila keputusan sudah dibuat, ini bermakna mereka bukan yang terbaik di Chelsea.

"Bagi saya, Salah merupakan pemain paling menyerlah musim ini. Dia dan Sadio Mane satu gandingan mantap untuk Liverpool," kata Keown.

Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain