suria

Tun M Pesan 'Kedah Kena Pulun'

PETALING JAYA: Aksi final Piala Malaysia penuh mendebarkan antara Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) akan berlangsung di Stadium Shah Alam beberapa jam sahaja lagi.

Debaran bukan sahaja dirasai peminat bola sepak tanah air, tetapi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga salah seorang penyokong Skuad Lang Merah turut merasakan debaran yang sama.

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook, Dr Mahathir yakin skuad kendalian ketua jurulatih Nidzam Adzha Yusoff itu akan mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.

"Saya percaya pemain kita akan bersemangat penuh kerana ini satu perlawanan amat penting bagi Kedah. Saya percaya mereka berupaya memenangi perlawanan ini.

"Selamat maju jaya pasukan Kedah, pulun Kedah pulun. Jangan lupa orang Johor tak tau apa tu pulun... awak semua tau. Kita pulun la. Pulun siapa yang menang. Kalau menang tu saya terima kasih jela," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya mengenai bola sepak di Malaysia, Dr Mahathir berkata beliau pertama kali menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Kedah sebelum zaman perang.

"Masa tu tak ada pagar tak ada apa, kita semua berdiri tepi line ja. Gol pun tak ada net, kalau tendang masuk terlepas ke belakanglah.

"Saya dalam sekolah tak main bola sepak pasal saya tak pandai. Jadi saya berpendapat bahawa bola sepak ini satu perlawanan yang begitu popular sekali di dunia dan kita pun tak kurang dari orang lainlah," katanya.

Susulan itu, beliau berharap agar sukan bola sepak ini akan sentiasa diminati seluruh rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pemain berkebolehan dan cekap seperti legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.

"Sekarang ini kita tak dengar banyak dah tentang kemenangan pasukan bola sepak Malaysia. Pasukan Kedah ini kadang-kadang bagus jugalah, tahun ni dapat masuk final.

"Saya harap pasukan Kedah ini akan dapat kemenangan bagi tahun 2017," katanya.

Aksi final antara Kedah dan JDT akan bermula pada pukul 9.20 malam.

Kedua-dua pasukan dilihat seimbang tetapi rata-rata netizen berpendapat kelebihan berpihak kepada Kedah yang pernah muncul juara lima kali kejohanan tertua di Asia itu.

Kedah dinobatkan sebagai juara pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016 manakala Johor pernah memenangi Piala Malaysia dua kali pada 1985 dan 1991.

Dr Mahathir Mohamad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

“Mourinho Kena Hormat Saya”

Artikel Lain