suria

KFA Masih Perlukan Muhammad Syafiq

Phitiwat Sookjitthummakul dari Thailand dan Muhammad Syafiq dari Malaysia berentap untuk merebut bola pada perlawanan Sukan Sea 2017 lalu. - Reuters

KUALA NERANG: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berharap penyerang prolifik muda Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad tidak mudah gelap mata dengan sebarang bentuk tawaran atau janji pasukan tertentu sehingga membuat keputusan terburu-buru, termasuk berhijrah ke pasukan lain.

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashi, sebaliknya berkata pemain yang beraksi dalam skuad bawah 22 tahun negara itu, perlu mempertimbangkan beberapa aspek, termasuk memikirkan pasukan yang telah menaikkan namanya sehingga ke tahap sekarang.

"KFA tidak pernah menghalang mana-mana pemain untuk meninggalkan kita sekiranya mendapat tawaran kerana ia hak masing-masing.

"Kedah juga salah sebuah pasukan disegani...kalau dia berhijrah, belum tentu lagi pasukan itu akan mencapai keputusan yang baik...fikirlah semangat dan jati diri untuk membantu pasukan Kedah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kampung Kubu dekat sini pada Khamis.

Baru-baru ini, pemain berusia 22 tahun itu menyatakan dia sanggup berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT)  sekiranya diberi tawaran, selain menyebut bahawa adalah tidak salah untuk dia mengadakan rundingan dengan mana-mana pasukan memandangkan kontraknya akan berakhir tidak lama lagi.

Badrol berkata Kedah sebenarnya amat memerlukan khidmat Muhammad Syafiq memandangkan pemain berkenaan dilihat mempunyai potensi dan masa depan yang cerah bersama pasukan berkenaan.

"Beliau anak didik kita (KFA), kita sayang dia..Memang kita menaruh harapan yang tinggi untuk dia masih bersama kita, lagipun pasukan kita sekarang tengah berada di prestasi terbaik," katanya. 

KFA

Artikel Berikut

Artikel Lain