suria

Malaysia Belasah Oman

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) meraikan pemain hoki Malaysia yang menyertai Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka sempena lawatan rasminya di Bangladesh bermula Ahad. - Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia menamatkan aksi pusingan awal Kejohanan  Hoki Piala Asia 2017 dengan membelasah Oman 7-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Dhaka, Bangladesh pada Isnin.

Kejayaan itu menyaksikan anak buah Stephen Van Huizen muncul juara Kumpulan B dengan mengutip  maksimum sembilan mata, selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut menewaskan China 7-1 pada 12 Oktober, sebelum mengejutkan juara bertahan Korea Selatan 2-1, dua hari kemudian.

Pada perlawanan Isnin, Malaysia mendahului selesa 5-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Faizal Saari pada minit ke-16 dan 26, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (minit ke-18 dan 23), dan Muhammad Shahril  Saabah (minit ke-20) sebelum Oman mengurangkan defisit melalui Salmeen Al Nofali pada minit ke-25, demikian menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Skuad senior kebangsaan melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan menambah dua lagi jaringan selepas permainan bersambung menerusi dua pemain muda – Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan, masing-masing pada minit ke-40 dan 42.

Bercakap kemudian, Van Huizen memuji dua pemain muda, Marhan Nabil Asri Joel dan Muhammad Aideed yang beraksi dengan baik pada Isnin, walaupun tanpa khidmat pemain tengah berpengalaman, Mohd Fitri Saari yang terpaksa pulang ke tanah air pada Ahad selepas anaknya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. - Bernama

Hoki Piala Asia 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Serie A Itali

Artikel Lain