suria

Zairil Tetap Mahu Lepas Jawatan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari tetap dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, walaupun Majlis FAP sebulat suara menolak perletakan jawatannya masih belum menerima apa-apa pemberitahuan secara rasmi mengenai keputusan tersebut.

"Saya amat berterima kasih kepada semua ahli majlis FAP yang memberi sokongan kuat sepanjang perkhidmatan saya sebagai presiden.

"Saya juga faham bahawa keputusan saya untuk meletak jawatan dilakukan secara mengejut. Namun, saya kekal dengan keputusan tersebut," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook malam Khamis.

Zairil berkata, beliau sudah menjelaskan dalam kenyataan tempoh hari bahawa antara sebab meletak jawatan kerana prestasi pasukan Liga Super Pulau Pinang yang bakal mengakhiri musim 2017 di tangga tercorot.

"Perjalanan saya dalam FAP sememangnya tidak mudah dan saya terpaksa mengharungi pelbagai cabaran termasuk tohmahan, fitnah, serangan bom api ke atas pejabat FAP serta demonstrasi sesetengah peminat.

"Saya juga terpaksa ambil keputusan sukar untuk memecat ketua jurulatih dan melantik yang baharu.

"Sama juga dengan pemain-pemain impot yang telah ditukar. Walaupun berhadapan dengan banyak kekangan, namun saya dan pihak pengurusan telah melakukan yang terdaya demi pasukan. Malangnya, ia tidak mencukupi," katanya.

Menurut Zairil, keputusan itu juga bertujuan untuk membuka ruang kepada pemimpin baharu yang dapat menggalas tugas tersebut dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Pulau Pinang.

Beliau berkata berikutan perletakan jawatan seseorang presiden, Persatuan seharusnya mengadakan satu Mesyuarat Agung Tergempar (Extraordinary General Meeting) seperti termaktub dalam fasal 18 perlembagaan Persatuan.

"Saya menasihati agar majlis FAP membuat persediaan untuk Mesyuarat Agung Tergempar dengan secepat mungkin agar jawatan-jawatan kosong dapat dipenuhi dengan segera.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada presiden dan barisan kepimpinan baharu," katanya.

Zairil Khir Johari, FAP

Artikel Sebelum

Klopp Tolak Tawaran United

Artikel Berikut

Artikel Lain