suria

Felda United Benam Harimau Selatan

Aksi jaringan kedua Felda United di sumbangkan oleh Dayo. - Felda United

SHAH ALAM: Felda United FC membenam juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) 3-2, dalam aksi tunggal liga yang penuh dramatik di Stadium Shah Alam di sini, Khamis malam.

Pada aksi sengit itu, Felda United terlebih dahulu menembusi pintu gol lawan menerusi jaringan Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-27, berpunca daripada kesilapan hantaran belakang Putera Nadher Amarhan Maderner kepada penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli secara perlahan, yang terus disambar Thiago.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Putera Nadher yang lebih dikenali sebagai Junior Eldstal pada minit ke-39, yang juga merupakan jaringan ke-100 JDT bagi musim ini.

Serangan bertali arus Felda United membuahkan hasil apabila Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi meledak gol kedua pada masa tambahan babak pertama.

Bersambung babak kedua, kekasaran dilakukan Junior Eldstal terhadap pemain Felda United membawa padah apabila pengadil Suhaimi Mat Hassan melayangkan kad merah kepadanya, selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-48.

Namun, ia tidak mematahkan semangat skuad kendalian Ulisses Morais apabila JDT berjaya bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-57, sebelum pasukan tuan rumah mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Thiago Augusto pada minit ke-64.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Ulisses Morais berkata kesilapan pemainnya sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada pasukan lawan, sekali gus mengakibatkan kekalahan tersebut.

Sementara itu, ketua jurulatih Felda United, B. Satiananthan berkata kemenangan itu memberi motivasi tambahan kepada pasukannya bagi menghadapi saingan separuh akhir Piala Malaysia menentang Kedah. - Bernama

Felda United, JDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain