suria

FAM Akur Larangan Ke Korea Utara

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur dengan keputusan Kementerian Luar Negeri yang melarang rakyat Malaysia ke Korea Utara.

Skuad Harimau Malaya yang dikendalikan Nelo Vingada dijadualkan terbang ke Pyongyang pada 3 Oktober ini menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara.

Ia berikutan situasi tidak menentu di negara berkenaan kesan daripada siri ujian peluru berpandu dan skuad Harimau Malaya turut tidak terkecuali daripada larangan berkenaan.

"Sehubungan itu, saya telah menghubungi Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.

"Selepas berbincang, beliau meminta FAM menghantar surat rasmi kepada AFC bagi memaklumkan skuad Harimau Malaya tidak dapat terbang ke Korea Utara bagi perlawanan di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada Khamis, 5 Oktober 2017.

"Surat rasmi kepada AFC itu telah pun dihantar tengah hari ini (Khamis)," jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan petang Khamis.

Sementara itu, Windsor dalam surat balasannya yang dihantar kepada FAM telah bersetuju untuk membuat keputusan bahawa perlawanan Korea Utara bertemu Malaysia tidak akan dilangsungkan di Pyongyang pada tarikh 5 Oktober itu.

"Lain-lain perkembangan berhubung status perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh AFC.

"Saya telah memaklumkan semua perkembangan terbaharu ini kepada Presiden FAM, Tunku Ismail  Sultan Ibrahim dan telah berkenan serta sedia maklum mengenai semua tindakan dan langkah yang telah dan akan diambil.

"Perbincangan juga telah dibuat dengan Vingada dan beliau membuat keputusan untuk mengubah program kem latihan pusat yang sepatutnya bermula di Johor Bahru pada Sabtu ini (30 September) memandangkan perancangan awal skuad Harimau Malaya akan terbang ke Pyongyang melalui Singapura dan Beijing pada 3 Oktober," jelasnya.

Berikutan penangguhan perlawanan itu juga, kem latihan pusat hanya akan bermula pada Rabu, 4 Oktober di Wisma FAM, Kelana Jaya dan skuad Harimau Malaya akan terbang ke Hong Kong dari Kuala Lumpur pada 6 Oktober untuk menghadapi satu lagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober 2017.

FAM, Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Melaka United Lega

Artikel Lain