suria

Kemalangan Berlaku Sekelip Mata, Pemandu Ditahan

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meluangkan masa melawatAatlet 'Paracycling', Mohd Khairul Hazwan Wahab yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di Hospital Sungai Buloh hari ini. Turut sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) dan Pakar Perubatan Sukan Pusat Sukan Prestasi Tinggi Bahagian Podium Institut Sukan Negara (ISN) Dr Azril Syazwan Mohd Ali. Foto: Bernama

SUNGAI BULOH: Kemalangan yang melibatkan empat atlet berbasikal negara termasuk dua atlet Para Asean dan ketua jurulatih di Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) pagi Khamis dikatakan berlaku sekelip mata.

Atlet berbasikal para negara Mohamad Syazwan Rushdi berkata ketika kejadian beliau berada di jalan agak berbukit kira-kira 100 meter di belakang rakan-rakannya itu.

"Saya terkejut apabila tiba di  tempat kejadian, rakan sepasukan saya sudah terbaring di jalan raya," katanya kepada pemberita di Hospital Sungai Buloh.

Jelasnya lagi, kenderaan yang dipercayai merempuh rakan-rakannya tidak kelihatan di tempat kejadian ketika itu.

Mereka yang terlibat  dalam kemalangan ialah Ketua Jurulatih Mohd Johari Nayan, dua atlet Para Asean Mohd Hairul Hazwan Wahab dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali serta dua “pilot rider” iaitu  Mohd Nor Rizual Zainal dan Muhamad Nur Syafiq Suhaimy.

Dalam kejadian  kira-kira 10.45 pagi itu di Km 12.6, kesemua para atlet itu berbasikal dari arah Ijok, Kuala Selangor menghala Rawang sebelum dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Mohamad Syazwan berkata laluan berkenaan sentiasa menjadi lokasi latihan mereka setiap minggu sejak pertengahan tahun ini.

"Kami juga telah mengikut semua prosedur keselamatan yang telah ditetapkan," katanya.

Skuad berbasikal para negara sedang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 23 September  ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, pemandu kenderaan yang terlibat berusia 46 tahun telah ditahan.

"Kami akan mendakwanya pada Jumaat. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengankutan Jalan 1987 kerana kecuaian," katanya.

Tambah beliau, ia bukannya diklafikasikan kes langgar lari.

kemalangan Atlet Para

Artikel Sebelum

Wenger Persoal Oxlade-Chamberlain

Artikel Berikut

Artikel Lain