suria

Bibi Dapat Restu Terajui Kafa

Bibi Ramjani Ilias Khan.

PETALING JAYA: Pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan mendedahkan beliau meminta restu mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebelum memutuskan untuk bertanding jawatan presiden pada kongres pemilihan ke-63 persatuan itu, 17 September ini.

Usahawan kelahiran Kok Lanas itu berkata, beliau berbuat demikian bagi menghormati Tan Sri Annuar Musa sebagai individu berpengalaman luas, banyak berjasa dan paling lama menerajui Kafa sebelum ini.

"Kalau kita nak masuk rumah orang, kita kena bagi salam dahulu. Jadi saya WhatsApp Tan Sri memaklumkan mengenai hasrat saya sebelum buat keputusan untuk bertanding. Saya mahu satu persaingan yang sihat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut ibu tunggal empat anak itu, Annuar yang juga penasihat Kafa memberikan maklum balas positif terhadap hasratnya itu.

"Beliau balas, "Molek benar... seleke la" (eloklah silakan). Sekurang-kurang saya rasa berpuas hati untuk meneruskan hasrat itu sebab saya dah tanya tuan rumah asal," katanya.

Wanita berusia 46 tahun itu begitu sinonim dengan Kafa kerana beliau pernah menjadi salah seorang penaja skuad The Red Warriors pada 2013.

"Saya pernah menaja Kelantan selama satu musim pada 2013. Lagipun anak saudara saya bermain untuk Kelantan. Kadang-kadang kalau ada apa-apa majlis saya masih jemput pemain untuk datang ke rumah," katanya.

Bibi Ramjani turut mengesahkan sudah menghantar borang pencalonannya bagi jawatan tersebut kepada Kafa pada pukul 2.30 petang Rabu.

"Saya sudah tandatangani borang pencalonan yang kemudiannya dihantar ke pejabat Kafa sebentar tadi. Saya sudah bersedia memikul tanggungjawab besar ini andai diberi mandat untuk menerajui Kafa," katanya.

Tambahnya, antara perkara yang menyebabkan beliau memutuskan bertanding jawatan presiden adalah untuk membantu memulihkan kemelut kewangan Kafa.

"Sebagai usahawan saya akan berusaha untuk menjana pendapatan bagi pasukan. Meskipun bukan tampil sebagai penaja, saya akan cuba mencari rakan-rakan niaga yang lain untuk bantu memajukan bola sepak Kelantan. This is Kota Bharu," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tiada syarat khas ditetapkan untuk dirinya menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

Namun, katanya, beliau hanya mengharapkan lebih ramai usahawan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu tampil menyokong skuad TRW selaku penaja.

"Sokongan usahawan-usahawan ini amat diperlukan bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan. Kita tahu ramai usahawan berjaya di Kelantan, jadi sokongan mereka dari segi kewangan dan juga idea amat dialu-alukan," katanya.

Selain Bibi Ramjani, Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah turut mengumumkan akan bertanding jawatan presiden.

Muhammad Nasir berkata, tawaran untuk menerajui badan induk tersebut bagi penggal 2017-2021 dibuat susulan kerusi nombor satu itu kosong selepas Annuar selaku penyandang kerusi itu, meletak jawatan, November tahun lalu.


Bibi Ramjani, Kafa

Artikel Lain