suria

Tiket Kelayakan Piala Asia 2019 Dijual Selasa

MELAKA: Tiket perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 melibatkan pasukan Malaysia dan Hong Kong di Stadium Hang Jebat yang dijadualkan berlangsung Selasa ini akan mula dijual pada pagi hari tersebut.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Melaka Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata tiket dijual pada harga RM30.00 bagi dewasa dan RM5.00 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

“Orang ramai diminta agar membeli tiket lebih awal bagi mengelak kesesakan di kaunter tiket yang akan mula dibuka pada 10.00 pagi,” katanya.

Beliau berkata Stadium Hang Jebat mampu menampung 40,000 penonton dalam satu masa dan pihaknya yakin tidak akan mengalami masalah untuk menampung jumlah penyokong negara yang datang pada Selasa ini.

Beliau yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempelawa semua penyokong terutamanya daripada kelab Ultras Malaya agar datang ke stadium memberi semangat moral kepada pasukan negara.

“Bagi saya kehadiran Ultras Malaya ke stadium adalah penting kerana mereka mampu membangkitkan semagat penyokong lain memberi sokongan penuh kepada pemain kebangsaan yang beraksi di padang,” katanya.

Mohd Yusoff berkata beliau berharap skuad kebangsaan negara mampu mencipta kemenangan di laman sendiri bagi mengubati kekecewaan penyokong skuad Sukan SEA negara tewas tipis 0-1 kepada Thailand pada final Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam baru-baru ini.

“Kita faham bahawa Hong Kong adalah sebuah pasukan yang agak kuat dan bukan calang-calang pasukan, namun saya harap beraksi di tempat sendiri akan memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan mencipta kemenangan nanti,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tolong Kembali Ke Chelsea!

Artikel Lain