suria

Amaran Mourinho Buat Zlatan

-fotoAP

JOSE Mourinho memberi amaran kepada Zlatan Ibrahimovic bahawa dia mesti membuktikan dirinya adalah penyerang terbaik di Manchester United dalam usaha untuk bermain sebaik sahaja dia pulih dari kecederaan.

Pemain berusia 35 tahun yang menandatangani semula kontrak satu tahun dengan United awal minggu ini, kini sedang dalam proses pemulihan selepas kecederaan ligamen di lututnya pada April.

Penyertaannya akan memaksa Mourinho memilih antara bintang Sweden, Romelu Lukaku yang ditandatangani dengan £90 juta dan Marcus Rashford dan bos United itu bertegas bahawa dia akan memilih pemain terbaik.

"Zlatan kenal saya dan dia tahu saya akan pilih pemain yang saya fikir terbaik untuk pasukan.

"Saya selalu melakukan seperti itu.

"Jadi jika dia datang ke sini dan dia membuktikan dia adalah yang terbaik, dia akan bermain. Jika yang lain tidak memberi peluang untuk dia membuktikannya... itulah kehidupan.

"Tetapi saya sentiasa berusaha bersikap jujur ​​dengan pemain dan pasukan saya. Mungkin kadang-kadang saya tak selalu melakukan perkara yang betul tetapi saya mencuba."

Berikutan pemergian Wayne Rooney ke Everton, Ibrahimovic sekali lagi memberikan Mourinho tiga pilihan penyerang dan dia merasakan bahawa ketajaman adalah penting jika United mahu memberikan cabaran untuk meraih trofi dalam beberapa pertandingan musim ini.

Mourinho berkata: "Yang pasti skuad saya lebih baik. Ia adalah satu lagi pilihan, seorang lagi penyerang, seorang lagi pemain dengan lebih berpengalaman.

"Kami mempunyai banyak pertandingan. Jika kami menunjukkan kemajuan dalam Liga Juara-Juara dan salah satu piala, kami akan berada di kedudukan di mana kami tidak dapat melakukannya dengan hanya bersandarkan Lukaku dan Rashford, terutama jika saya menurunkan kedua-duanya bersama.

"Sekiranya saya meletakkan kedua-duanya, saya memerlukan penyerang jadi mungkin pada Januari saya akan mengetuk pintu Ed Woodward meminta penyerang untuk bahagian kedua musim ini.

"Sekarang saya tak perlu berbuat demikian, saya mempunyai salah seorang yang terbaik di dunia."

Mourinho telah bersuara tentang hasratnya untuk menambah pemain musim panas keempat bagi melengkapkan penandatanganan Lukaku, Nemanja Matic dan Victor Lindelof. -SkySports

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain