suria

Milla Tak Puas Hati Aksi Pemain

Suasana tegang antara pemain Indonesia dan Timor Leste berikutan salah faham pada perlawanan Kumpulan B Sukan SEA KL2017 di Stadium Selayang pada Ahad. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Indonesia Bawah 22 (B-22) , Luis Milla tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya walaupun berjaya menewaskan Timor Leste 1-0 dalam perlawanan ketiga Kumpulan B acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Selayang pada Ahad.

Dia yakin skuad muda ‘Garuda' dapat memenangi perlawanan itu dengan jumlah jaringan yang besar jika pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang menjaringkan gol terutama pada babak kedua.

Milla juga mendakwa keadaan padang yang buruk dan permainan kasar pihak lawan telah menyukarkan anak buahnya untuk menambah jaringan.

“Prestasi kami dalam perlawanan hari ini merosot sedikit berbanding perlawanan sebelum ini, menentang Filipina dan keadaan padang tidak sebaik bermain di Stadium Shah Alam yang menyaksikan kami menewaskan Filipina 3-0, tetapi saya masih gembira, kami membawa pulang tiga mata penuh,” kata Milla kepada pemberita melalui jurubahasa selepas perlawanan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Timor Leste B-22, Kim Shin-hwan menyalahkan pemainnya atas aksi kasar di akhir perlawanan itu yang menyaksikan pemain pertahanan mereka, Filipe Oliveira dibuang padang oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed.

“Bagi saya, masalah pasukan ini mereka tidak mempunyai disiplin yang baik dan saya tidak akan ambil pemain yang terima kad merah dalam perlawanan hari ini, untuk perlawanan seterusnya.

“Saya harap kekalahan hari ini memberi pengajaran berguna bagi pemain agar tidak mengulangi kesilapan sama walaupun peluang kami ke separuh akhir hampir berakhir,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu yang mengetuai pasukan itu sejak 2001.

Penyerang Indonesia, Marinus Mariyanto Wanewar meledak gol tunggal dalam pertandingan itu pada minit ke-21 setelah menerima hantaran daripada Septian David Maulana.

Kl2017, Bola Sepak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain