suria

JDT Pesta Gol, Pintas Kedudukan Selangor

Pemain JDT Azammudin Mohd Akil (tengah) mengawal bola dari dirampas pemain Terengganu Adam Othman Mohd Arfah dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos malam Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berpesta gol untuk menjadi pendahulu Kumpulan D Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu 5-0 di Stadium Tan Sri Dato' Hassan Yunus, Larkin, malam Selasa.

Skuad Harimau Selatan yang bermain di halaman sendiri itu berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-18 melalui Nuhd Safawi Rasid dan kemudiannya diikuti Mohd Fadhli Mohd Shas dan S.Kunalan masing-masing pada minit ke 38 dan 45.

Selepas rehat mereka menambah derita pasukan pelawat dengan dua jaringan oleh Ahmad Hazwan Bakri dan Darren Yee Deng Lok pada minit ke-49 dan 79.

Berdasarkan keputusan malam Selasa, JDT berjaya menempah tiket ke perlawanan suku akhir.

Sementara itu Perak dan Felda United FC juga menempah tempat di suku akhir selepas muncul dua pasukan terbaik Kumpulan B, walaupun saingan peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah menewaskan Kuala Lumpur 2-0 untuk mendahului carta Kumpulan B dengan 13 mata.

Gol-gol Perak diperolehi menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho dan Kenny Pallaraj Davargi masing-masing pada minit ke-22 dan 37.

Felda United FC pula yang beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, memperolehi tiga mata penuh walaupun menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC.

Dalam saingan Kumpulan A, pasukan T-Team mengejutkan Negeri Sembilan, yang menduduki ranking kedua dalam kumpulan, dengan kemenangan 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan tuan rumah menguasai perlawanan separuh masa pertama apabila Mohd Asrol Ibrahim @ Abdullah memulakan jaringan pada minit ke-24 dan diikuti Wan Mohd Amirzafran Wan Nadris pada minit ke-39.

Selepas rehat, mereka terus menambah derita Negeri Sembilan dengan dua gol hasil jaringan Dilshod Sharofetdinov dan Muhammad Fakhrurazi Musa masing-masing minit ke-49 dan 80 manakala Negeri Sembilan memperolehi gol sagu hati menerusi Muhammad Nizam Mohd Ruslan pada minit ke-78.

Sementara satu lagi perlawanan Kumpulan A, Pahang berpesta gol selepas menewaskan pendahulu carta kumpulan, PKNP FC 6-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Gol-gol dihasilkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (min 27 dan 52), Joseph Kalang Tie (min 32 dan 41), Mohd Afif Amiruddin (min 83) dan Matheus Alves (min 86).

Sementara itu dua perlawanan akan berlangsung pada Rabu melibatkan Kelantan menentang Melaka dalam saingan Kumpulan C dan Selangor menentang Sarawak dalam Kumpulan D. -Bernama

JDT, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain