suria

Skuad Penyu Berputih Mata

Pemain Terengganu Lazaro Vinicius Martin Alves (kanan) berjaya menghalang bola sepakan pemain Selangor K. Kannan dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU: Hilang tumpuan disaat akhir menyebabkan Skuad Penyu terpaksa berputih mata di laman sendiri selepas tewas 2-3 kepada Selangor dalam aksi Piala Malaysia yang berlangsung Sabtu malam.

Pengendali pasukan Terengganu, Ifran Bakti Abu Salim berkata kesilapan yang dilakukan di bahagian pertahanan menyebabkan pasukan Merah Kuning berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan.

"Pengakhiran permainan kurang menyeronokkan walaupun kita berjaya berada di depan dengan jaringan 1-0 pada babak pertama permainan, namun pasukan lawan bangkit dan berjaya menjaringkan gol demi gol.

"Kita hendak dapatkan gol bukannya mudah tapi kesilapan saat akhir menyebabkan kita tewas," katanya kepada pemberita selepas tamat permainan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Ismail Faruqi Ashari  meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-23 sebelum Francis Forkey Doe menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-51 untuk menyamakan kedudukan.

Muhammad Syahmi Safari kemudian meletakkan Selangor di depan empat minit kemudian sebelum Tchetche Hermann Brice Kipre menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-77.

Rufino Segovia Del Burgo muncul wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan selepas masa sebenar permainan tamat.

Ifran Bakti bagaimanapun mahu anak didiknya melupakan kekalahan itu dan terus mempamerkan aksi terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan dalam Liga Perdana dan Piala Malaysia nanti.

Untuk rekod,Terengganu yang berada di dalam kumpulan D mengumpul tiga mata menerusi empat perlawanan dalam Piala Malaysia.Selangor menggungguli kumpulan D dengan 10 mata, diikuti JDT (7) dan Sarawak hanya di tempat keempat dengan satu mata.-Bernama

Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain