suria

Laluan Mudah Raih Pingat Acara Berpasukan

KUALA LUMPUR: Undian bagi acara badminton berpasukan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) memberi laluan mudah kepada kedua-dua pasukan lelaki dan wanita sekali gus menghasilkan kilauan pingat buat kontinjen negara.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata pasukan lelaki dilihat berpeluang meraih pingat emas manakala wanita pula sekurang-kurangnya pingat perak.

"Di atas kertas berdasarkan undian, kita elak Thailand dan kita lawan Singapura. Jadi peluang kita cerah untuk masuk ke final dalam pasukan lelaki. Kalau boleh kita hendak menang emas dalam pasukan lelaki.

"Dalam undian wanita, Thailand ada tiga pemain perseorangan yang sangat kuat manakala beregu hampir sama dengan Malaysia berbanding Indonesia yang pemain perseorangannya tidak begitu kuat. Jika kita berdepan Indonesia di semi final ia dilihat peluang lebih cerah banding lawan Thailand," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis undian acara Sukan SEA ke-29 di sini Sabtu.

Undian ialah bagi acara polo air, badminton, bola keranjang, kriket, ekuestrian polo, sepak takraw, bola sepak, ping pong dan bola tampar.

Berdasarkan undian bagi acara lelaki, Malaysia yang berada di ranking kedua selepas Indonesia akan berdepan pasukan Laos pada perlawanan pertama sebelum dijangka berdepan Singapura di separuh akhir.

Sementara Indonesia akan berdepan Kemboja sebelum mara ke separuh akhir untuk berdepan Thailand yang dijangka menghantar skuad terbaik mereka yang tidak menyertai Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland.

Dalam acara berpasukan wanita pula, Malaysia dijangka mudah ke separuh akhir selepas diundi berdepan Myanmar dan bakal berentap dengan pasukan Indonesia manakala Thailand yang mendapat laluan dijangka menanti Singapura di separuh akhir.

Untuk rekod, skuad badminton lelaki berkongsi pingat gangsa dengan Singapura pada temasya di Singapura dua tahun lepas manakala skuad wanita pula meraih pingat perak selepas tewas kepada Thailand. - BERNAMA

Sukan SEA 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Costa Sedia Buat U-Turn

Artikel Lain