suria

Zainal Rai Syawal Bersama 'Penyerang' Baharu

Zainal Abidin Hassan.

PETALING JAYA: Sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna dan paling dinanti-nanti pengendali pasukan bola sepak Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan.

Walaupun hanya berkesempatan meraikan kedatangan Syawal selama dua hari bersama keluarga, Zainal berkata sambutan kali ini diwarnai dengan kehadiran cucunya, Noah Zain Mohd Zairi yang berusia empat bulan.

"Setiap tahun sambutan Aidilfitri sememangnya meriah tapi kali ini lebih istimewa. Kami sekeluarga akan meraikannya bersama seorang lagi ahli keluarga baharu iaitu cucu lelaki saya.

"Orang yang paling teruja sudah tentu isteri (Zalina Zaini) saya. Dialah yang memilih warna sedondon untuk baju raya kami sekeluarga tahun ini," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau, mereka sekeluarga meraikan Aidilfitri di Shah Alam dan mengayakan busana sedondon berwarna ungu.

Ditanya mengenai makanan kegemarannya, ketua jurulatih berusia 55 tahun itu berkata hidangan yang wajib ada di pagi Syawal adalah lemang dan rendang.

"Dua makanan ini wajib ada selain beberapa masakan lain dari air tangan isteri tercinta," katanya.

Ditanya mengenai rutin di pagi Syawal, Zainal berkata beliau terlebih dahulu menunaikan solat Hari Raya di masjid berdekatan sebelum berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga dan sanak saudara.

"Seperti biasa satu dua hari akan diraikan dengan penuh meriah kerana itu sahajalah cuti yang saya ada.

"Selain berkumpul bersama keluarga, saya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk berkunjung ke rumah ahli keluarga dan sahabat terdekat," katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, beliau akan kembali memulakan latihan bersama skuad Harimau Kumbang pada hari ketiga Aidilfitri bagi mempersiapkan pasukan menjelang aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), 1 Julai depan.

"Aidilfitri tetap diraikan bersama ahli keluarga tetapi latihan jangan dilupakan. Kita perlu melakukan persiapan rapi menjelang aksi getir bertemu JDT nanti," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain