suria

Malaysia Gagal Ke Final

Pemain Malaysia, Fitri Saari cuba mengasak Juan Lopez dari Argentina pada aksi separuh akhir Liga Hoki Lelaki Dunia, malam Sabtu.

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal ke final saingan Separuh Akhir Liga Hoki Lelaki Dunia (WMHL) selepas kalah 2-1 kepadajaguh Sukan Olimpik Rio2016, Argentina, pada perlawanan separuh akhir di London, malam Sabtu.

Skuad Malaysia Tigers, bagaimanapun, menampilkan aksi membanggakan serta bersemangat untuk melakukan kejutan selepas kalah 5-2 kepada pasukan itu pada saingan peringkat kumpulan A, Jumaat lepas.

Biarpun sudah menempah tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, skuad bimbingan Stephen Van Huizen kini memburu slot ke pusingan akhir WMHL di Bhubaneswar, Disember ini.

Hanya tiga pasukan teratas, masing-masing dari saingan Separuh Akhir WMHL di London dan Johannesburg, Afrika Selatan, akan mara ke pusingan akhir.

Selain enam pasukan itu, tuan rumah, India dan pasukan keempat terbaik dari kedua-dua saingan turut layak ke pusingan akhir WMHL.

Malaysia kini akan memburu tempat ketiga pada Ahad dengan menentang pemenang antara perlawanan separuh akhir antara Belanda dan England,yang akan berlangsung lewat malam Sabtu.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-14 dunia, bermula baik dengan memberikan serangan bertalu-talu kepada pasukan lawan namun Lucas Vila berjaya menjaringkan gol pertama Argentina pada minit ke-13 melalui pukulan sudut penalti.

Masuk separuh masa kedua, Argentina menggandakan jaringan pada minit ke-34 melalui gol padang oleh Manuel Brunet sebelum Malaysia menerima penalti strok, di mana Fitri Saari melakukan kuis ke kiri gawang untuk memperoleh gol tunggal buat negara pada minit ke-38.

Untuk rekod, Malaysia layak ke Piala Dunia 2018 selepas menewaskan India 3-2 dalam perlawanan suku akhir, Khamis lepas. - BERNAMA

Liga Hoki Lelaki Dunia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain