suria

Lagi Bintang Real Madrid Disiasat

SELEPAS Cristiano Ronaldo dikaitkan dengan kes mengelak membayar cukai, seorang lagi bintang Real Madrid kini disiasat melibatkan kes yang hampir sama.

Luka Modric kini disiasat oleh pendakwa raya Croatia kerana disyaki memberi keterangan salah dalam satu perbicaraan jenayah melibatkan kes penipuan cukia dan rasuah.

Menurut laporan Mail Online, Modric memberi keterangan itu pada minggu lalu pada perbicaraan seorang pegawai cukai dan tiga bekas pegawai kanan kelab Dinamo Zagreb termasuk bekas ketua eksekutif, Zdravko Mamic.

Ketika itu, pihak berkuasa tidak menamakan Modric sebagai pihak yang memberi keterangan memandangan ia merupakan prosedur operasi standard di Croatia.

Bagaimanapun identiti Modric akhirnya didedahkan oleh media tempatan tetapi pemain berusia 32 tahun itu gagal dihubungi untuk memberikan sebarang komen.


Perancang Real Madric itu memberi keterangan sebagai saksi kes penipuan cukai selepas pegawai kanan Dinamo yang terlibat mengelak membayar cukai sebanyak 12.2 juta kuna (RM7.8 juta) selain menyalahgunakan wang kelab sebanyak 116 juta kuna (RM74 juta).

Dalam keterangannya, Modric memberitahu bahawa pada 10 Julai 2004, dia menandatangani kontrak profesional pertama dan bersetuju dengan syarat mempunyai hak sebanyak 50 peratus hasil perpindahan.

Menurut pendakwa raya, Modric juga memberi keterangan yang sama bahawa syarat itu dikekalkan apabila dia menyambung kontrak.

Dua tahun lalu, Modric memberitahu kepada penyiasat antirasuah bahawa syarat itu hanya selepas menyambung kontrak, sekali gus bercanggah dengan keterangannya baru-baru ini.

Siasatan berhubung kes itu masih diteruskan dan kesemua tertuduh tidak mengaku salah.

Luka Modric

Artikel Lain