suria

Beri Masa, Percaya Kepada TMJ, Vingada - Hamidin

PETALING JAYA: Baru 83 hari mengemudi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sudah mula kedengaran suara-suara sumbang yang mengkritik corak kepimpinan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengambil-alih jawatan presiden badan induk bola sepak negara itu.

Malah kritikan semakin lantang kedengaran apabila Tunku Ismail dikatakan 'gagal' pada ujian pertama ekoran kekalahan 1-2 Harimau Malaya kepada Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 pada Selasa lalu di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Nelo Vingada.

Rata-rata pihak media tempatan juga tidak memberi peluang kepada Tunku Ismail dan kepimpinan baharu FAM untuk menyelamatkan masa depan bola sepak negara apabila mengeluarkan berita berbaur negatif terhadap badan induk bola sepak negara itu.

Ekoran itu, Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin terpanggil untuk menegur pihak media dan segelintir pihak yang kelihatan cuba menyalahkan Tunku Ismail dan Vingada atas kegagalan sulung negara dalam perlawanan kompetitif di bawah pimpinan baharu.

Menurut Hamidin, media mahupun pengkritik berlaku tidak adil kepada Tunku Ismail dan Vingada yang baru bersama Harimau Malaya selama tiga minggu dengan hanya menilai berdasarkan satu kekalahan.

Sebaliknya, Hamidin berkata, banyak perkara positif serta pembaharuan lain yang telah dilaksanakan Tunku Ismail dalam tempoh tiga bulan pertama bagi merevolusikan FAM, seolah-olah telah dilupakan begitu sahaja.

"Jika diimbas semula, banyak (perubahan) dilakukan Tunku Ismail sejak hari pertama menjadi Presiden FAM termasuk menyusun sistem organisasi persatuan supaya lebih efektif, membawa masuk  seorang jurulatih berpengalaman dan berprofil tinggi dari luar negara iaitu Vingada bagi meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.

"Selain itu, FAM mengadakan mesyuarat exco di setiap negeri bermula di Sabah bagi mendekatkan hubungan FAM dan ahli-ahli gabungan, mengadakan sesi dialog bersama penyokong bagi mendengar segala permasalahan mereka serta kemudahan termoden untuk kegunaan latihan skuad Harimau Malaya dan terbaharu, baginda turut mengurniakan sebuah bas baharu bagi kegunaan skuad Harimau Malaya. Banyak lagi yang akan menyusul selepas ini.

"Tetapi keghairahan pihak tertentu menjadikan kekalahan kepada Lubnan tempoh hari sebagai sasaran untuk menuding jari kepada Tunku Ismail dan Vingada yang baru dilantik mengemudi Harimau Malaya," kata beliau.

Sehubungan itu, Hamidin meminta seluruh peminat bola sepak tanah air termasuk media agar memberi sokongan tidak berbelah bagi dan sentiasa bersikap positif serta sabar untuk sama-sama melihat hasil terhadap usaha Tunku Ismail dalam mengembalikan kegemilangan dan maruah bola sepak Malaysia di persada antarabangsa.

Malah beliau yakin dan percaya bahawa hanya segelintir saja sebenarnya yang sering mengecam serta sentiasa mencari salah Tunku Ismail dan juga FAM terutama di media sosial.

"Secara realiti masih berjuta rakyat Malaysia di luar sana yang terus menyokong dan berkeyakinan tinggi dengan kepimpinan Tunku Ismail untuk membawa FAM dan bola sepak Malaysia ke arah yang lebih gemilang seperti mana laungan semangat yang sering kedengaran iaitu #InTMJWeTrust.

"Tidak kiralah sama ada media dan juga penyokong serta peminat bola sepak tanah air supaya kita sama-sama 

"Beri Tunku Ismail dan juga Vingada masa membentuk skuad Harimau Malaya untuk menjadi lebih mantap dari semasa ke semasa yang mana saya yakin kita akan menikmati hasilnya dalam tempoh setahun dua ini," kata beliau.

FAM, Hamidin Mohd Amin

Artikel Sebelum

Hendrawan Yakini Misbun

Artikel Berikut

Artikel Lain