suria

Misbun Kembali Ke BAM

KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki.

BAM pada Khamis mengumumkan Misbun akan dibantu Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairol Amar Ayob.

Badan induk itu juga turut menamakan empat lagi ketua jurulatih lain.

Mereka adalah Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran).

Kesemua mereka akan melaporkan diri kepada Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost.

Pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini, petang Khamis, Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan struktur kejurulatihan baharu itu akan berkuatkuasa bermula Julai.

"Misbun memahami apa yang diperlukan untuk menjadi pemain perseorangan lelaki terbaik Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman ketika membimbing (Datuk) Lee Chong Wei. Saya juga mahu jurulatih yang dihormati oleh semua pemain terutama Chong Wei.

"Misbun telah bersetuju secara dasar tentang pelantikan beliau. Saya menghubungi beliau sebelum mesyuarat C&T, dan kita bersetuju bahawa beliau akan dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki," katanya.

Legenda badminton negara itu adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.

Namun, Misbun meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas ''sebab peribadi''.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata di bawah strategi prestasi BAM 2017 hingga 2020, Misbun akan membimbing kesemua pemain perseorangan lelaki termasuk Chong Wei.

Katanya, berdasarkan cadangan strategi prestasi BAM oleh Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen, sasaran badan induk itu adalah muncul juara Piala Thomas 2018.

"Berdasarkan pelan induk Morten itu, beliau meletakkan sasaran muncul juara Piala Thomas. Ini bermakna bagi kita mencapai sasaran itu, kita perlu memilki pemain perseorangan lelaki dan beregu lelaki yang mantap.

"Saya percaya dengan (pelantikan) Misbun dan Soon Kit yang akan melengkapi satu sama lain, saya berpendapat ia kombinasi yang baik bagi kita mencapai sasaran menjulang Piala Thomas.

"Seperti yang saya katakan, kita perlu mempunyai sistem yang mantap dan berorientasikan kepada keputusan. Kita juga perlu beritahu kepada pemain bahawa mereka tidak boleh leka lagi," katanya.

BAM, Misbun Sidek

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ederson Sah Milik City

Artikel Lain