suria

Gol Dirai Penuh Harmoni

PETALING JAYA: Mereka mungkin mempunyai pegangan agama yang berbeza tetapi ia tidak menghalang mereka daripada mencapai tujuan yang sama.

Itu kapsyen yang digunakan dalam sekeping gambar yang menunjukkan tiga pemain bola sepak Bali United FC dari Indonesia yang meraikan gol mengikut cara agama sendiri iaitu Kristian, Islam dan juga Hindu.

Gambar itu yang dimuatnaik dalam Facebook pada Isnin dikongsi lebih 11,000 kali dan mendapat pujian daripada netizen di seluruh dunia.

Menurut laporan Washington Post, pemain pertahanan Bali United yang beragama Hindu, Ngurah Nanak, Yabes Roni (Kristian) dan Miftahul Hamdi (Islam) meraikan gol kedua Yabes mengikut cara agama masing-masing ketika pasukan itu menundukkan Borneo FC 3-0 bulan lalu.

"Walaupun kami datang dari etnik dan agama yang berlainan, kami semua adalah satu. Kami perlu melindungi keharmonian negara dan kekal bersatu," kata Yabes seperti dipetik portal Indonesia, Kompas.com.

Miftahuddin Halim, jurugambar yang mengambil gambar tersebut dipetik sebagai berkata dia gembira gambar itu dijadikan contoh kepada orang ramai.

"Bola sepak boleh menyatukan negara," katanya.

Bali United menduduki tangga ketiga dalam Liga 1 Indonesia dengan mengumpul 16 mata dalam sembilan perlawanan.

Bali United FC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain