suria

Nidzam Adzha Tak Senang Duduk

PENGENDALI skuad Hijau Kuning, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, bimbang dan tidak senang duduk memikirkan hal pemain Kedah ketika ini.

Pemain yang sedang bercuti sambil menjalani ibadah puasa itu dibimbangi gagal kembali dalam keadaan cergas sepenuhnya.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Mohd Nidzam telah merangka beberapa persediaan sebelum kancah Liga Malaysia kembali bersambung dangan cabaran yang lebih sengit.

Menurutnya, sebagai persediaan awal, pihaknya telah mengatur dua perlawanan persahabatan dan antaranya bertemu Perak di Stadium Darul Aman pada 1 Julai.

"Sebelum itu kita akan menentang Perlis dahulu pada 13 Jun. Kalau diikutkan kita juga akan berdepan Pulau Pinang tetapi terpaksa dibatalkan kerana pihak lawan mempunyai perancangan lain.

"Bagaimanapun, kita akan membuat persediaan sebaik mungkin sebelum liga bermula kerana persaingan untuk kedudukan teratas liga juga semakin sengit," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam memberitahu, persediaan sebaiknya perlu dilakukan supaya pemain benar-benar bersedia untuk mengharungi baki jadual liga dan permulaan Piala Malaysia.

Ketika liga berhenti rehat pada April lalu, Kedah yang sebelumnya kental mempertahankan rekod tanpa kalah, tampil dengan mempamerkan aksi mengecewakan.

Keadaan itu agak berlanjutan namun berakhir dengan baik apabila mereka menjuarai Piala FA bulan lalu.

"Dalam tempoh rehat dua minggu ini, pemain yang cedera diharap dapat merawat kecederaan sebelum mereka memulakan sesi latihan pada Jumaat ini.

"Saya tidak mempunyai masa yang panjang untuk membuat persediaan dan oleh itu pemain sendiri perlu melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal sebaiknya.

"Setakat ini, semua pemain termasuk empat pemain import, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Zachary Anderson dan Ken Ilso Larsen akan turut serta pada sesi latihan ini kecuali sembilan pemain yang bersama pasukan kebangsaan," jelasnya.

 

Kedah, Liga Super, Piala Malaysia

Artikel Berikut

Siapa Pengganti De Gea?

Artikel Lain