suria

Melaka United Dedah Nama Tiga Jurulatih Tempatan Pilihan

Kedua-dua jurulatih ini antara pilihan Melaka United termasuk Azraai Khor.

PETALING JAYA: Melaka United mengesahkan tiga jurulatih tempatan kini dalam radar pasukan itu seandainya jodoh bersama ketua jurulatihnya, Eric Williams yang direhatkan sudah menemui noktah.

Tiga jurulatih itu adalah Mohd. Azraai Khor Abdullah, K.Devan dan Datuk K.Rajagobal.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi mStar Online mendedahkan ketiga-tiga jurulatih itu menunjukkan minat untuk mengambil alih tugas Willams.

Namun, beliau berkata pihak pengurusan Musa masih belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu menyingkirkan Williams mahupun mencari pengganti ketua jurulatih itu.

"Sebenarnya K. Devan, Azrai Khor, K. Rajagobal dalam senarai pendek Musa tetapi kita di pihak pengurusan masih belum buat keputusan mengenainya," katanya.

Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Selain tiga nama yang disenarai pendek itu, Mohd Yusoff berkata kerusi panas tersebut turut menjadi buruan jurulatih dari luar negara.

"Kita juga ada senarai panjang jurulatih dari luar negara yang turut berminat untuk menggantikan Williams. Tapi macam saya katakan tadi, kita masih belum buat keputusan sama ada mahu menyingkirkan Williams atau ambil jurulatih tempatan mahupun luar negara," katanya.

Beliau berkata, nasib Williams hanya akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

"Pada saya Williams seorang jurulatih yang bagus tetapi saya nampak dia tak serasi bersama pemain. Jadi saya perlu menilai perkara ini sehalus-halusnya dengan sebaik mungkin kerana tidak mahu jurulatih teraniaya atas desakan pemain sedangkan dia seorang jurulatih yang bagus," katanya.

Ditanya mengenai peluang Williams untuk kekal, Mohd Yusoff berkata beliau lebih gemar memulihkan hubungan 'keruh' antara Willams dan pemain berbanding menukar jurulatih.

Katanya, memperbaiki keadaan itu lebih baik kerana mengambil jurulatih melibatkan pelbagai faktor terutamanya soal kewangan pasukan.

"Kalau boleh saya tidak mahu sehingga sampai ke tahap tukar jurulatih kerana ia bukan sahaja memberi implikasi kepada kewangan pasukan tetapi banyak faktor lain," katanya.

Mohd Yusoff Mahadi.

Namun Mohd Yusoff berkata, sekiranya penukaran jurulatih jalan terbaik bagi memastikan Melaka United kekal dalam saingan Liga Super, maka beliau terpaksa melakukannya.

"Begitulah keadaannya sekarang. Dua tiga hari ini kita main tune dulu. Kita perhalusi sebaik mungkin kerana kita mahu jaga segalanya.

"Pemain mesti bekerjasama dengan jurulatih manakala jurulatih pun mudah dengan pemain. Ini penting kerana kita ingin membentuk pasukan yang jitu untuk pusingan kedua," katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu telah mengadakan pertemuan dengan semua pemain Melaka United malam Khamis untuk mengetahui masalah mereka ketika ini.

"Banyak pemain beritahu mereka tak faham apa jurulatih mahu kerana terlalu banyak formasi diberikan selain mereka keliru nak gunakan yang mana satu dan sesi latihan terlalu berat.

"Namun apa yang penting saya kena wujudkan keharmonian dalam pasukan. Kalau tak memang kita susah nak dapat keputusan yang bagus," katanya.

Mohd Yusoff juga memberitahu beliau akan bertemu dengan Williams sama ada hari ini atau esok bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi beliau bersama pasukan.

Melaka United, MUSA

Artikel Sebelum

Tunggu Sahajalah

Artikel Berikut

Usah Gertak Saya - Annuar

Artikel Lain