suria

Tolonglah, Kekalahan Saya Tak Ada Kaitan Isu Perkauman - Agilan

Agilan (kiri) kalah kepada juara bertahan Ben Askren, dari Amerika Syarikat dalam Kejohanan One FC Welterweight di Stadium tertutup Singapura, Jumaat. -fotoTHESTAR

PETALING JAYA: Petarung sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) Agilan Thani merayu kepada rakyat Malaysia supaya tidak mengaitkan kekalahannya dalam Kejohanan One FC Welterweight dengan isu perkauman.

Agilan, 21, pada malam Sabtu menjadikan Facebook 'live' sebagai tempat untuk menangani kontroversi tentang kekalahannya itu, sambil menggesa rakyat Malaysia untuk bersatu.

Video ini telah tersebar luas dengan mendapat hampir 6,000 perkongsian dan 13,000 'like' pada pagi Ahad.

"Saya buat video ini kerana isu-isu di Facebook...Sebagai contoh, terdapat satu posting yang menyatakan bahawa saya berbangsa India, sebab itu saya tidak layak mendapat banyak sokongan di luar sana dan kerajaan tidak menyokong saya," katanya.

"Kepada orang ramai, saya merayu tolonglah jangan kutuk dan menjadikan ini satu isu perkauman."

Dengan mata kanannya yang masih berbalut, Agilan menjelaskan bahawa tidak adil untuk orang ramai membuat dakwaan tentang karier dan sokongan yang diterimanya tanpa memahami situasi sebenar.

"Adalah tidak adil untuk orang ramai suka-suka menyatakan 'Oh, ah, kamu orang India, itulah sebabnya kerajaan tidak menyokong kamu.

"Tolong jangan heret saya dalam adegan ini, saya mahu lihat semua rakyat Malaysia bersatu," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa dirinya sukar untuk menerima sokongan kerajaan kerana sifat sukan itu sendiri yang berisiko tinggi.

"Tidak banyak yang saya boleh minta kerajaan bantu kerana risiko saya mendapat kecederaan adalah lebih tinggi berbanding kebanyakan sukan lain yang diceburi rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mempertahankan liputan The Star berhubung persembahannya malam Jumaat, menyatakan bahawa pemberita sekadar melaporkan fakta.

Agilan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa beliau telah memperkenalkan dirinya sebagai rakyat Malaysia yang dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur dan menggesa orang ramai menghayati semangat 1Malaysia.

"Saya melatih semua orang di gim, dari India, Cina, Melayu, malah warga asing. Saya bantu mereka," kata beliau sambil menambah teman wanitanya juga berbangsa Cina.

"Kami bukannya berbeza bangsa, kita hidup di Malaysia, rakyat perlu bersatu padu," katanya.

Dalam cabaran sukan terbesar itu pada Jumaat, Agilan kalah kepada juara bertahan Ben Askren, 32, dari Amerika Syarikat dalam salah satu dari acara utama untuk ONE: Dynasty Of Heroes yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.

Pencapaian Agilan dalam sukan ini telah dikagumi dan mendapat pujian dan dari rakyat Malaysia.

MMA, Agilan Thani

Artikel Sebelum

Costa Beri Kata Dua

Artikel Berikut

'Saya Sanggup"

Artikel Lain